KOTA BHARU: Seorang guru wanita yang merempuh dua pelajar termasuk salah seorang daripadanya maut dalam kejadian di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, April lalu dijangka didakwa esok.
Pendakwaan ke atas guru berusia 57 tahun itu dilakukan di Mahkamah Kota Bharu.
Guru berkenaan didakwa mengikut dua pertuduhan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan.
Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat ketika dihubungi hari ini.
Katanya, guru itu didakwa di Mahkamah Kota Bharu mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan menyebabkan kecederaan.
Pada 13 April lalu, seorang guru dilapor ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar perempuan yang maut dirempuh SUV di hadapan surau SMK Tanjong Mas.
Terdahulu, kemalangan yang meragut nyawa seorang remaja perempuan di sekolah berkenaan dipercayai berpunca daripada pemandu SUV yang tertekan pedal minyak lalu terbabas sebelum merempuh mangsa.
Kejadian pukul 1.50 petang itu turut menyebabkan seorang lagi pelajar perempuan mengalami kecederaan. – UTUSAN










