PUTRAJAYA : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) belum menemui sebarang bukti mengaitkan harga roti canai RM4 sekeping yang didakwa dikesan di Langkawi baru-baru ini.
Pengarah Penguat Kuasanya, Azman Adam berkata, pihaknya masih meneliti dan menyiasat mengenai kesahihan aduan berkenaan berdasarkan maklumat yang diterima.
Beliau berkata, pihaknya tidak menemui sebarang bukti di premis yang dinyatakan seperti yang dimaklumkan dalam aduan berkenaan.
“Setakat petang tadi, kami masih tidak menjumpai di mana lokasi premis yang dikatakan menjual roti canai RM4 itu.
“Pegawai penguat kuasa kami masih lagi cuba mengesan aduan itu termasuk di beberapa lokasi lain.
“Kita akan mendapatkan maklumat daripada orang yang membuat aduan itu supaya kita dapat jalankan siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan Op Menu di Kota Warisan di sini, malam ini.
Kata beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan aduan itu benar, malah berkemungkinan perkara itu berlaku akibat kekeliruan.
Semalam, Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) memaklumkan, pihaknya menerima aduan mengenai harga roti canai sekeping RM4 yang dijual di pulau peranginan itu.
Setiausaha CAKE, Mohd Yusrizal Yusoff berkata, harga itu tidak masuk akal kerana berdasarkan maklumat daripada pengguna, kedai roti canai itu hanya di tepi jalan.
Harga roti canai itu adalah antara 100 aduan yang diterima CAKE khususnya berkaitan harga makanan serta bahan mentah di negeri itu. – UTUSAN ONLINE