fbpx

23 Januari 2022, 7:04 am

  TERKINI

Beli buku sekolah dalam talian di Kobesp

DAVID Mak (kiri) menerima plak penghargaan daripada Yaakob Zaidin (dua dari kanan) pada majlis Pelancaran Koperasi Majlis Guru Besar Pahang Berhad di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Ibu bapa kini boleh membeli buku dan peralatan sekolah anak-anak secara dalam talian menerusi platform e-dagang baharu dikenali sebagai Kobesp di platform www.kobesp.com.my.

Platform baharu e-dagang yang dilancarkan pada 1 Disember lalu itu merupakan kerjasama antara Koperasi Majlis Guru Besar Pahang Berhad dengan Pustaka Mindadex Sdn. Bhd. 

Objektif utama Kobesp adalah untuk membangunkan platform e-dagang sebagai mana Shopee dan Lazada bagi merevolusikan cara sekolah membeli bekalan dan peralatan.

Ia juga selaras populariti e-dagang yang ketika ini meningkat apabila lebih ramai pengguna berubah secara dalam talian untuk membeli belah semasa merebaknya wabak pandemik Covid-19.

Pengerusi Koperasi Majlis Guru Besar Pahang Berhad, Sabri Yaakub berkata, sasaran pasaran Kobesp adalah semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara termasuk orang awam. 

“Melalui platform ini, guru besar sekolah boleh menyelaraskan proses pembelian buku dan peralatan sekolah untuk memenuhi keperluan pelanggan sekolah masing-masing dengan lebih pantas, cekap dan terjamin kualitinya,” katanya. 

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Guru Besar Pahang berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Koperasi Majlis Guru Besar Pahang Berhad di De Rhu Beach Resort di sini semalam. 

Hadir sama, Penolong Pengarah Kanan, Pra dan Sekolah Rendah Jabatan Pendidikan negeri, Yaakob Zaidin dan Pengarah Urusan Pustaka Mindadex Sdn. Bhd, David Mak dan Setiausaha Koperasi Majlis Guru Besar Pahang Berhad, Muhamad Fadzli Hamzah. 

Sementara itu, David berkata, menerusi Kobesp, ia akan membantu para ibu bapa membeli buku latihan yang diperlukan secara dalam talian. 

Beliau berkata, portal e-perolehan menempatkan kedai dalam talian untuk turut mempromosikan pendidikan, produk dan perkhidmatan berasaskan keluarga kepada penduduk di negeri ini serta semua pembeli secara dalam talian di Malaysia.

“Konsepnya mudah, sebagai mana Shopee dan Lazada, orang ramai hanya perlu melayari laman sesawang www.kobesp.com.my dan mereka boleh membeli buku dan peralatan sekolah diperlukan. 

“Selepas membuat pembayaran, pembeli hanya perlu menunggu barangan dibeli dihantar ke rumah mereka, penghantaran dikendalikan sepenuhnya oleh Pustaka Mindadex Sdn. Bhd.,” katanya. 

Sementara itu, Muhamad Fadzli berkata, Kobesp juga akan menawarkan bahan dan perkhidmatan pendidikan.

“Buat masa ini, kami melancarkan Kedai Buku Sekolah secara dalam talian untuk menguasai pasaran kembali ke sekolah dan lebih banyak produk akan tersedia tahun depan. Kami akan cuba sedaya upaya untuk menunjukkan prestasi yang baik pada 2022.

“Platform ini akan membuka pelan perniagaan kami dengan lebih baik kerana ia terbuka kepada sesiapa sahaja, termasuk ibu bapa, pelajar, guru dan persatuan ibu bapa dan guru,” katanya.-UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI