Bekalan air 463 kawasan pulih malam esok - Utusan Malaysia

Bekalan air 463 kawasan pulih malam esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Gangguan bekalan air di semua 463 kawasan terjejas di Lembah Klang dijangka pulih sepenuhnya pada malam esok.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan proses rawatan air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih sudah dimulakan berikutan tiada bau dikesan di muka sauk.

“Proses itu bagi memastikan air terawat yang bersih dan selamat dapat diagihkan kepada para pengguna.

“Bekalan air di 463 kawasan yang terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada 11.30 malam 17 Disember (esok),” kata kenyataan itu hari ini.

Bantuan air alternatif menerusi 81 lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan terjejas dan premis kritikal sepanjang tempoh gangguan itu.

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan lanjut menerusi aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. 

Pertanyaan dan aduan turut boleh diajukan di Help Centre menerusi www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 463 kawasan di lima wilayah di Lembah Klang dijangka akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Gangguan itu ekoran henti tugas LRA Sungai Semenyih selepas pencemaran bau diesel dikesan di Sungai Semenyih.

Ia melibatkan 194 kawasan di Sepang, Petaling (172), Hulu Langat (54), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20). -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN