Bapa mahu ziarah pusara Rozzana di Korea Selatan - Utusan Malaysia

Bapa mahu ziarah pusara Rozzana di Korea Selatan

MAT Nanyan Ahmad (dua kiri) menerima pencen penakat Allahyarhamah Rozzana daripada Mohd. Izhar Ahmad sempena sambutan Jubli Emas Perkeso Johor 2021 di Wisma Perkeso, Johor Bahru. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bapa kepada Allahyarhamah Rozzana Mat Nanyan yang meninggal dunia di Korea Selatan pada 24 November lalu, menaruh harapan untuk menziarahi kubur anaknya itu di negara tersebut.

Kini Mat Nanyan Ahmad, 70, sedang mengumpul wang bagi membeli tiket penerbangan dan kos perbelanjaan lain sepanjang di sana setelah tidak dapat bertemu buat kali terakhir dengan Rozzana yang dimasukkan ke ke Hospital Myongji, akibat serangan asma pada 2 Oktober lalu.

Katanya, ketika ini kakak tiri Rozzana iaitu Nur Diana Abdul Rahim Lee, 46, masih berada di Korea Selatan selepas berangkat pada 21 Oktober lalu bagi menguruskan wanita itu yang ditidurkan di hospital terbabit sehingga menghembuskan nafas terakhir.

“Nur Diana dijangka pulang ke Malaysia pada 21 Disember ini, namun dia perlu menjalani kuarantin terlebih dahulu sebelum boleh pulang ke rumah.

“Selepas itu kami akan kumpulkan duit untuk membeli tiket ke sana, mungkin hanya dua orang sama ada saya atau isteri, Kalsom Suleiman bersama Nur Diana yang sudah mengetahui selok belok di sana,” katanya ketika ditemui selepas menerima pencen penakat bagi Allahyarhamah Rozzana sempena Sambutan Jubli Emas Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor 2021, semalam.

Rozzana, 35, yang bekerja di kilang pembuatan buku dan kalendar di Incheon tidak sedarkan diri sejak hari pertama dimasukkan ke hospital kerana ditidurkan bagi mengelak terkena serangan sawan.

Sebelum ini Nur Diana menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan adik tirinya yang sedang dirawat di Korea Selatan selain kos rawatan yang mencecah puluhan ribu ringgit sehingga berharap dapat membawa pulangnya ke tanah air.

Keluarga yang tinggal di Taman Bayu Damai, Pengerang, dekat sini hanya mengetahui Rozzana dimasukkan ke hospital selepas rakan serumahnya di Korea Selatan menghubungi adik bongsu bagi memaklumkan keadaannya.

Namun, pada 24 November lalu, Nur Diana yang berada di negara tersebut mengesahkan pemergian Rozanna kira-kira pukul 9.46 pagi waktu Malaysia melalui hantaran di Facebooknya.

Sementara itu, Mat Nanyan berkata, mereka sekeluarga tetap bersyukur dengan penerimaan pencen berjumlah RM384.20 sebulan hasil caruman Rozzana ketika dia masih bekerja ke negara ini sebelum merantau ke Korea Selatan.

‘Alhamdulillah, walau berapa jumlahnya, kami tetap bersyukur kerana dapat membantu meringankan beban ekonomi keluarga,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad menyampaikan pencen tersebut kepada Mat Nanyan selain turut dihadiri Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN