SEREMBAN: Seramai 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan di sebuah kilang besi di Nilai di sini semalam.
Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kang berkata, menerusi operasi itu seramai 117 orang warga asing diperiksa sebelum 46 orang lelaki berusia antara 18 hingga 43 tahun ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Kesemua individu yang ditahan merupakan warganegara Bangladesh dan dipercayai gagal mengemukakan pas serta dokumen perjalanan yang sah.
“Selain itu, pemeriksaan juga mendapati mereka turut melakukan kesalahan tinggal lebih masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kennith Tan berkata, operasi itu dijalankan susulan aduan awam berhubung kehadiran warga asing yang disyaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Beliau berkata, kesemua tahanan telah dibawa ke Depot Imigresen Lenggeng bagi siasatan dan tindakan lanjut. – UTUSAN










