KLANG: Seorang lelaki maut dipercayai akibat ditetak dalam satu kejadian gaduh dekat Taman Sentosa, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, maklumat kejadian diterima Pusat Kawalan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerusi panggilan kecemasan MERS 999 kira-kira pukul 11.10 malam tadi.
“Kejadian melibatkan mangsa warganegara berumur 34 tahun ditetak sehingga menyebabkan kematian. Kejadian masih disiasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang melihat ataupun mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dan berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan Mohamed Syahrir Zabidi di talian 012-6650895.
“Atau menghubungi bilik gerakan IPD Klang Selatan di talian 03-33762222,” ujarnya.
Terdahulu tular potongan video memaparkan kejadian gaduh dan seorang lelaki terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Keadaan itu mencetuskan kekecohan sehingga kawasan berkenaan dipenuhi orang ramai, namun disuraikan dengan kehadiran polis. – UTUSAN










