Bantu 250,000 lepasan SPM cari kerja - Utusan Malaysia

Bantu 250,000 lepasan SPM cari kerja

AHMAD Maslan (empat dari kanan) menyampaikan hadiah kepada penerima ABC Parlimen Pontian di Dewan Muafakat Kampung Sungai Pinggan di Benut, Pontian. - UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kerajaan perlu memikirkan nasib kira-kira 250,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak mampu untuk meneruskan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, golongan itu perlu diberikan latihan dalam bidang teknikal dan vokasional mahupun keusahawanan bagi membantu mereka memperoleh kerjaya lebih baik.

Katanya, kaedah dan cara terbaik perlu dilakukan supaya mereka tidak menjadi penganggur atau mendapat pekerjaan dengan gaji yang hanya sekadar cukup makan.

“Isu ini perlu dilihat bukan sahaja oleh Kementerian Pendidikan tetapi Kementerian Sumber Manusia; Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan sebagainya.

“Setiap tahun dianggarkan hampir 400,000 lepasan SPM menamatkan pembelajaran mereka tetapi tidak semua mampu menyambung pelajaran di tingkatan enam, diploma atau ijazah sarjana muda,” katanya pada majlis penyampaian Anugerah Belia Cemerlang (ABC) Parlimen Pontian 2021 di Benut.

Tambah Ahmad, memandangkan belia memerlukan pekerjaaan dan kerjaya lebih baik, penyertaan dalam bidang latihan dan vokasional mampu memberikan masa depan kepada golongan itu.

“Begitu juga mereka perlu didedahkan dengan kegiatan keusahawanan yang boleh menjadikan mereka pengusaha atau peniaga yang berjaya melalui bidang-bidang yang diminati,” jelasnya.

Sementara itu, Persatuan Belia Bersatu Seri Pulai menjadi johan bagi kategori Pertubuhan Belia Cemerlang, manakala Kepemimpinan Belia Cemerlang dianugerahkan kepada Nor Mohammad Shawaluddin Abdul Malik dan Mohammad Fahami Sapari pula bagi kategori  Kesukarelaan Belia Cemerlang.

Selain itu, Ainul Ashikin Helmy diberikan Anugerah Khas Kembara Kepimpinan Belia dan Anugerah Khas Sukan Belia Cemerlang pula kepada Siti Nur Syakirin Mohd. Kamin sementara Tokoh Belia Berjasa disandang Mohammad Jahis Othman Anita Parmin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya