Banjir di Taman Sri Muda: Ramai lagi mangsa terperangkap

Banjir di Taman Sri Muda: Ramai lagi mangsa terperangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 285 mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini diselamatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor selepas kediaman mereka ditenggelami air sejak Sabtu lalu.

Jumlah mangsa tersebut direkodkan setakat pukul 11.15 pagi tadi dengan kekuatan 70 anggota bomba yang menggunakan 21 bot, lima pacuan empat roda dan empat lori.

Maklumat daripada Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB) di Persiaran Kemuning Prima di Jalan Bukit Kemuning, terdapat 10 agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (NADMA).

Agensi lain turut terlibat ialah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling.

Sementara itu, operasi menyelamat turut dibantu beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang mengerahkan pelbagai aset masing-masing seperti bot dan pacuan empat roda bagi mengesan mangsa yang masih terperangkap di rumah.

Menurut Komander Operasi, Penguasa Kanan Bomba I, Md. Ridzuan Hasan, mangsa yang berjaya dibawa keluar dari kawasan rumah mereka didaftarkan di PKOB Jalan Prima bagi  mengenal pasti kedudukan mangsa masih terperangkap.

“Setakat ini masih ramai lagi mangsa dilaporkan terperangkap selepas sebahagian mereka dapat dikeluarkan daripada hampir keseluruhan kawasan Seksyen 25 ditenggelami air sejak kelmarin.

“Buat masa ini mangsa-mangsa juga akan ditempatkan di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) di Seksyen 15 di sini dengan menggunakan pelbagai kenderaan seperti bas, lori dan pacuan empat roda,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, tinjauan di sekitar kawasan ini mendapati keadaan air mulai surut berbanding malam tadi apabila Jalan Bukit Kemuning dari Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA) boleh dilalui.

Bagaimanapun laluan masuk ke Taman Sri Muda dari Jalan Bukit Kemuning di simpang empat lampu isyarat berhampiran pusat perniagaan di sini masih lagi digenangi air.

Sementara pasukan penyelamat pula masih perlu menggunakan bot bagi memasuki kawasan perumahan untuk mencari mangsa yang terperangkap sejak Sabtu lalu.

Malah, menurut Md. Ridzuan lagi, hampir seluruh kawasan Seksyen 25 tenggelam sejak kelmarin turut melibatkan lima taman perumahan lain seperti Taman Kemuning Utama, Kemuning Bayu, Taman Sri Lembayung dan Taman Perindustrian Axis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya