'Anak lahir sangat kuat, namanya Jihardy Nasywan'

‘Anak lahir sangat kuat, namanya Jihardy Nasywan’

FAZARIAH Nordin melihat pakaian untuk bayi Jahidah di rumah salah seorang lagi kakaknya Fauziah Nordin di Bandar Seri Sendayan, Seremban, semalam. - FOTO/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Keluarga mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin yang selamat melahirkan bayi secara pembedahan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) malam tadi berhasrat menamakan bayi itu dengan nama Jihardy Nasywan.

Adik kepada Jahidah, Fazariah Nordin, 38, berkata, Jihardy Nasywan yang membawa maksud ‘perjuanganku kegembiraan memperoleh kemenangan’ sangat bermakna dan berkaitan dengan episod hitam yang menimpa Jahidah, 43.

“Anak yang lahir ini sangat kuat dan nama Jihardy Nasywan ada berkaitan dengan kejadian yang berlaku pada kakak Jahidah.

“Kakak dari usia kandungan enam minggu sudah terlantar, macam-macam jenis ubat sudah masuk tetapi keajaiban berlaku bayi ini kuat dan membesar dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah seorang lagi kakaknya Fauziah Nordin di Bandar Seri Sendayan, di sini hari ini.

Sebelum ini, Fauziah, 40, menggalas tanggungjawab menjaga Jahidah sebelum kakaknya menjalani pembedahan melahirkan bayi pada pukul 9 malam tadi manakala Fazariah pula menetap di Melaka.

Jelas Fazariah, setakat ini hanya Fauziah telah melawat bayi di hospital pada pukul 9.30 pagi tadi namun jantina belum dapat disahkan kerana pihak hospital perlu mendapatkan pengesahan waris.

“Berdasarkan ‘scan’ (imbasan) sebelum ini bayi itu adalah lelaki tetapi belum dapat disahkan kerana Fauziah hanya sempat memegang bayi selama lima minit kemudian kakitangan hospital kata tidak boleh pegang.

“Alhamdulillah, bayi ini sihat dan dilahirkan dengan berat dua kilogram,” katanya.

Dalam pada itu, Fazariah memberitahu, pembedahan Jahidah yang sepatutnya dibuat pada hari ini diawalkan pada pukul 9 malam tadi (30 November 2021) kerana doktor memaklumkan air ketuban kakaknya itu telah pecah.

“Perasaan bercampur ada gembira, sedih dan takut, kami sekeluarga tidak sabar menunggu kepulangan kakak Jahidah dan bayinya,” katanya.

Jahidah kini masih berada dalam pemantauan 24 jam oleh petugas hospital.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Jahidah yang sedang hamil dijangka bakal melahirkan bayi dalam kandungannya secara pembedahan hari ini.

Jahidah telah dimasukkan ke Wad Obstetrik dan Ginekologi, HTJ sejak 22 November lalu tetapi pihak keluarga tidak dibenarkan melawat kerana prosedur sangat ketat.

Doktor memaklumkan bahawa wanita itu bakal berhadapan pelbagai komplikasi respiratory distress (kesukaran pernafasan), pendarahan, jangkitan kuman, cardiact arrest (jantung terhenti) dan kematian.

Dalam kejadian pada 4 Mei lalu, Jahidah, yang menetap di Johor Bahru koma disebabkan kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.

Jahidah pada mulanya dimasukkan je ICU Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke HTJ Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital.

Sebelum ini pada 17 Jun lalu, suami mangsa, Rosmaini Abd. Raof mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor atas pertuduhan memukul isterinya yang hamil sehingga koma dalam kejadian pada 4 Mei lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN