PETALING JAYA: Agihan bantuan rakyat dengan secara digital iaitu dalam bentuk tunai (cash transfer) perlu dipertimbangkan kerajaan agar tidak berlaku ketirisan Program Bantuan Rakyat di samping hanya disalurkan kepada mereka memerlukan.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan penggunaan teknologi terkini seperti skim pembayaran bantuan melalui sistem digital supaya bantuan dapat disampaikan dan dibelanjakan kepada mereka yang sepatutnya.
“Program bantuan kewangan untuk rakyat dalam bentuk ‘cash transfer’ yang dimulakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu mesti diteruskan, disegerakan dan dipastikan tiada ketirisan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa yang sama, beliau berkata, undang-undang berkaitan kawalan harga, kawalan bekalan dan anti pencatutan mesti dikuatkuasakan sepenuhnya ekoran kenaikan harga barangan keperluan hari ini.
Jelas beliau, kegiatan hoarding (pencatutan) mesti dibenteras segera untuk memastikan barang-barang keperluan sentiasa mencukupi dalam pasaran.
“Pegawai Pemantau Harga juga mesti digerakkan sepenuhnya untuk memastikan tiada golongan oportunis mengambil peluang pada waktu ini,” katanya.
Menurut Wan Saiful, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini berada di kedudukan terbaik untuk mengambil peranan di barisan hadapan dalam menangani hal ini apabila beliau mempunyai pengalaman sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri sebelum ini dan boleh memanfaatkan pengalaman tersebut.
Justeru itu, kata beliau, kerajaan mesti bertindak tegas untuk menangani kenaikan harga barang dan tidak boleh dibiarkan kerana kesan besarnya adalah kepada rakyat. – UTUSAN










