TEHERAN: Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei dalam mesej bertulis terbaharunya berkata, negaranya tidak mahu berperang dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Menurut laporan televisyen Iran pada Khamis, Khamenei berkata, beliau akan mempertahankan haknya sebagai sebuah negara.
“Kami tidak mencari perang dan kami tidak menginginkannya,” katanya dalam mesej yang dibacakan di televisyen beberapa minggu selepas bapanya, Ayatollah Ali Khamenei, terbunuh pada 28 Februari, hari pertama perang AS-Israel.
“Kami tidak akan melepaskan hak sah kami dalam apa jua keadaan dan dalam hal ini, kami menganggap seluruh barisan penentangan sebagai satu kesatuan,” tambahnya.
Kenyataannya itu merujuk kepada Lubnan, di mana Israel sedang bertempur dengan sekutu Teheran, Hizbollah.
Iran pada Selasa bersetuju dengan satu gencatan senjata rapuh selama dua minggu dengan AS yang berpotensi membawa kepada rundingan damai selepas ancaman kemusnahan daripada Presiden AS, Donald Trump.
Khamenei memberitahu rakyat Iran bahawa mereka jangan menganggap turun ke jalanan sebagai tidak lagi diperlukan walaupun pengumuman gencatan senjata telah dibuat.
“Suara anda di dataran awam tanpa ragu-ragu mempunyai pengaruh terhadap hasil rundingan,” katanya, menurut mesej yang disiarkan oleh televisyen.
Khamenei dipercayai mengalami kecederaan dalam serangan yang membunuh bapanya, Ayatollah Ali Khamenei.
Beliau bagaimanapun masih belum muncul di khalayak ramai sejak pelantikannya sebagai pemimpin.
Khamenei setakat ini hanya mengeluarkan kenyataan bertulis, yang kebanyakannya dibacakan di televisyen negara.
Trump pernah membuat spekulasi bahawa beliau mungkin telah meninggal dunia.
Namun, televisyen Iran menyatakan bahawa beliau sedang pulih daripada kecederaannya dan turut menyiarkan gambarnya tanpa menjelaskan bila ia dirakamkan. – AFP










