PETALING JAYA: Keputusan untuk mengadakan Sidang Khas Dewan Rakyat seperti dimohon pembangkang bergantung kepada persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, ini kerana surat daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bertarikh 26 Mac lalu ditujukan kepada Perdana Menteri.
Katanya, pihaknya turut menerima surat sama yang turut disalinkan kepadanya selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3) Dewan Rakyat yang membolehkan sidang khas diadakan bagi membincangkan isu berkepentingan awam.
“Isi kandungan surat memohon Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membahas implikasi peperangan ke atas Iran serta kesannya terhadap Malaysia dan dunia.
“Oleh kerana surat berkenaan dialamatkan kepada Perdana Menteri dan hanya disalinkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, maka saya tidak akan mengambil sebarang tindakan sehingga Perdana Menteri selaku Ketua Majlis memberikan respons,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, pembangkang menggesa satu Sidang Khas Dewan Rakyat dipanggil bagi membincangkan kesan peperangan antara Israel dan Amerika Syarikat (AS) dengan Iran terhadap Malaysia.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, semua ahli Parlimen pembangkang telah sedia maklum mengenai cadangan itu dan hanya menunggu pengumuman rasmi daripada kerajaan. – UTUSAN










