KUALA LUMPUR: Lebih 50 peratus pembeli motosikal sejak bulan lalu memilih unit terpakai untuk dijadikan kenderaan ke tempat kerja berikutan peningkatan kos bahan api yang melanda dunia.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kedai motosikal mendapati, para penjual mengakui berlaku peningkatan permintaan terhadap motosikal baharu berharga rendah atau unit terpakai dengan alasan utama pelanggan untuk menjimatkan perbelanjaan seharian ke tempat kerja.
Pemilik Perniagaan Motor Hok Hing, Lim Seng Wooi berkata, rata-rata pembeli mencari motosikal terpakai dalam anggaran harga RM2,000 ke bawah.
“Tahun lepas, permintaan untuk motosikal harga rendah memang ada, tetapi tidak setinggi sekarang.
“Kami juga melihat peningkatan pertanyaan daripada golongan pekerja dan penghantar makanan yang berminat mendapatkan model motosikal elektrik,” katanya ketika ditemui.
Seng Wooi berkata, situasi itu lazimnya disebabkan kos penggunaan dan penyelenggaraan jauh lebih rendah berbanding kereta.
Sementara itu, Pegawai Pemasaran Ebid Motor Sdn. Bhd., Ricky Chea berkata, terdapat peningkatan sebanyak lima peratus pembelian motosikal terpakai dari Februari hingga Mac lalu.
“Jualan motosikal terpakai meningkat daripada 46.7 peratus pada Februari kepada 51.7 peratus pada Mac,” katanya.
Statistik pada 2023 merekodkan, Malaysia berada pada tangga keempat penggunaan terbanyak motosikal di dunia apabila mencatatkan 83 peratus isi rumah memiliki kenderaan tersebut.
Menurut kajian yang dilakukan oleh Pew Research Center, negara pertama yang mempunyai pengguna motosikal terbanyak ialah Thailand. Ia kemudian diikuti oleh Vietnam dan Indonesia.
Dalam pada itu, Pensyarah dan Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Kejuruteraan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, jumlah penunggang motosikal dijangka akan meningkat sederhana dalam satu hingga dua bulan akan datang terutama di bandar besar dan laluan ke tempat kerja. – UTUSAN










