Abang Viva tolak 'hadiah' jika tujuan promosi barangan

Abang Viva tolak ‘hadiah’ jika tujuan promosi barangan

AZWAN Omar bersama kereta Perodua Viva dan bot getah yang digunakan untuk menolong mangsa banjir di Puchong, Shah Alam dan Temerloh. - FOTO/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Wira banjir, Azwan Omar, 29, atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Viva’ menolak sebarang pemberian sumbangan jika ia bertujuan menjadikan dirinya sebagai alat mempromosikan sesuatu barangan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, menurutnya, beliau hanya akan menerima sumbangan daripada mana-mana individu atau syarikat yang memberikan secara ikhlas tanpa sebarang syarat.

“Kalau nak bagi ikhlas, insya-Allah saya akan terima. Jika nak bagi untuk mempromosikan sesuatu barangan memang saya tak nak.

“Saya menolong mangsa banjir di Puchong dan Shah Alam, Selangor serta Temerloh, Pahang bukan minta simpati atau menagih kereta baharu atau sebagainya. Saya buat ini adalah ikhlas kerana ingin menolong mereka dalam kesusahan.

“Saya juga tidak mahu dijulang berlebih-lebihan, cukuplah mangsa banjir mengucapkan terima kasih itu sudah memadai. Saya cukup selesa dengan kehidupan sekarang serta kereta Perodua Viva yang saya miliki,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Pengkalan Indah dekat sini.

Kisah ‘Abang Viva’ tular dan mendapat perhatian dalam media sosial sehingga ramai yang ingin memberi dan menawarkannya hadiah, memandangkan jasa yang ditumpahkan kepada mangsa-mangsa banjir.

Paling mencuri perhatian, apabila beliau yang menggunakan kereta Perodua Viva membawa sebuat bot getah di atas bumbung serta enjin bot lapan kuasa kuda jenis Mercury.

Azwan dilaporkan hanya berbekalkan wang tunai sebanyak RM50 iaitu RM20 digunakan untuk mengisi minyak kereta manakal RM30 lagi bagi membeli makanan buat mengalas perut.

Azwan yang baru pulang daripada menolong mangsa banjir di Temerloh mengakui, pihak Perodua ada menghubunginya sewaktu berada di Shah Alam, tetapi tidak ada sebarang perbincangan diadakan.

Jelasnya, dia turut dihubungi seorang usahawan yang juga Pengarah Shalicious Empire Sdn. Bhd., Wan Siti Aishah Wan Hasan yang ingin menghadiahkannya sebuah kereta untuk kegunaan peribadi sebagai tanda terima kasih atas pengorbanannya.

“Saya belum buat sebarang kata putus sewaktu mereka menghubungi kerana ketika itu saya sedang membantu mangsa banjir. Tengoklah dalam beberapa hari ini jika mereka menghubungi semula saya,” katanya.

Azwan yang juga anak bongsu daripada empat beradik memberitahu, menyelamatkan mangsa banjir adalah satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Saya puas hati kerana usaha datang dari Melaka ke Puchong yang pada mulanya untuk membantu kakak tidak sia-sia. Ia menjadi titik tolak untuk turut menolong beberapa mangsa lain di Taman Seri Muda,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya