600 pokok durian musang king dimusnahkan di Raub - Utusan Malaysia

600 pokok durian musang king dimusnahkan di Raub

POKOK durian musang king yang ditanam di Hutan Simpan Teras ditebang dalam Operasi Teras di Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Pejabat Hutan Daerah memusnahkan lebih 600 pokok durian musang king yang ditanam secara haram di Hutan Simpan Teras di sini.

Operasi Teras dilakukan hari ini melibatkan kawasan hutan simpan seluas empat hektar dipercayai diteroka secara haram sejak lebih dua tahun lalu.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah Raub, Shahril Mohamad berkata, pokok durian musang king berusia setahun hingga dua tahun itu dimusnahkan dengan cara menebang menggunakan parang dan mesin gergaji berantai.

“Nilai 600 pokok durian musang king yang dimusnahkan dalam operasi selama lima jam melibatkan 25 kakitangan itu dianggarkan lebih RM30,000,” katanya di sini hari ini.

Shahri berkatal, pihaknya berjaya mengesan kawasan itu selepas melakukan rondaan serta semakan menggunakan sistem e-Geoformatik Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), 26 November lalu.

Katanya, siasatan mendapati kegiatan penerokaan kawasan itu dilakukan oleh seorang lelaki yang menggunakan beberapa pekerja warga asing.

Dalam pada itu beliau berkata, sepanjang tahun ini Pejabat Hutan Daerah Raub telah melakukan lima operasi membanteras penerokaan hutan simpan secara haram membabitkan kawasan seluas kira-kira 142.7 hektar.

Katanya, Operasi Pamah Hutan Simpan Batu Talam pada Julai lalu merupakan kemuncak ketegasan kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menyaksikan kira-kira 15,000 pokok durian musang king dimusnahkan membabitkan kawasan seluas 101 hektar.

“Operasi Teras hari ini adalah yang ke enam dilakukan tahun ini, tindakan sama akan dilakukan secara berterusan tahun depan bagi memastikan kegiatan menceroboh hutan simpan secara haram tidak berulang.

“Kita akan mengadakan program menanam pokok balak di kawasan ini bermula esok dengan sebanyak 1,500 pokok pelbagai jenis akan ditanam yang mengambil masa beberapa hari,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya