KUALA LUMPUR: Pelawak, Jep Sepahtu memaklumkan sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap Shuib susulan dakwaan berlaku fitnah terhadap dirinya, meskipun bekas rakan seperjuangannya itu sudah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Jep atau nama sebenarnya, Mohd Nadzri Zainal Abidin, berkata tindakan itu diambil atas nasihat peguam kerana perkara berkenaan disifatkan bukan sekadar sindiran, sebaliknya membabitkan fitnah terhadap dirinya.
“Aku pun nak minta maaf sebab ketika kau keluarkan video ini, aku telah pun mengambil tindakan undang-undang atas nasihat peguam.
“Kerana ini benar-benar fitnah jahat terhadap diri aku. Ini bukan pasal sindir, ini pasal fitnah,”katanya di Instagram.
Kenyataan itu memberi perkembangan baharu terhadap kemelut antara dua pelawak berkenaan yang sebelum ini mencetuskan perhatian ramai selepas Jep mengeluarkan kenyataan pada 8 Oktober lalu.
Terdahulu, Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad, tampil memohon maaf secara terbuka kepada Jep susulan tindakannya bersama Mamat menyindir pelawak itu dalam episod Dols Podcast yang menampilkan Azlee Senario.
Shuib berkata, dia sudah menghubungi Jep menerusi aplikasi WhatsApp pada jam 1.51 pagi, Jumaat lalu iaitu kurang 24 jam selepas kenyataan Jep dikeluarkan, bagi memohon maaf atas kekhilafan berkenaan.
Dia turut mengakui melalui tempoh sukar selepas menerima kecaman, selain mendakwa isteri, anak-anak, keluarga dan perniagaannya turut terkesan susulan kontroversi itu.
Dalam video berkenaan, Shuib turut memohon maaf berulang kali kepada Jep dan mengakui kesilapan serta keegoannya, sambil mengenang persahabatan mereka yang terjalin hampir 20 tahun.
“Kita kenal dekat 20 tahun, hampir separuh daripada hidup aku. Aku takkan boleh menidakkan kenangan yang telah pun kita bina selama ini.
“Selama kita bekerjasama, susah senang yang kita pernah lalui, kejayaan yang pernah kita capai, dan ianya akan aku simpan sebagai satu kenangan yang paling indah dalam hidup aku.
“Aku minta maaf di atas kekhilafan aku dan juga keegoan aku. Aku halalkan segala-galanya,” katanya.
Shuib turut merayu orang ramai supaya menghentikan kecaman dan fitnah terhadap dirinya serta keluarga, selain meminta perniagaannya tidak diboikot kerana menurutnya itu merupakan sumber pendapatan keluarganya.











