Saya kesal dan memohon maaf kepada Jep berulang kali - Shuib - Utusan Malaysia

Saya kesal dan memohon maaf kepada Jep berulang kali – Shuib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelawak, Shuib mengakui kekhilafan dan keegoannya sehingga mencetuskan kontroversi dengan rakan seperjuangannya, Jep Sepahtu, susulan sindiran dibuat menerusi podcast Dols Podcast, baru-baru ini.

Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad berkata dia sudah memohon maaf kepada Jep menerusi aplikasi WhatsApp kurang 24 jam selepas kenyataan rakannya itu dikeluarkan pada 8 Oktober lalu.

Menurutnya, dia mengambil masa hampir seminggu untuk tampil memberikan penjelasan berhubung perkara itu kerana bimbang kenyataannya disalah tafsir.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hampir seminggu saya mendiamkan diri tanpa memberikan apa-apa kenyataan tentang apa yang berlaku antara saya dan juga Jep. Dari hari pertama kenyataan Jep dikeluarkan iaitu pada 8 Oktober sampailah ke hari ini, saya kira saya melalui satu tempoh yang sangat sukar.

“Saya diperli, saya dimaki, saya dihina, dikecam dan ianya bukan saja berlaku kepada saya, tapi ianya melibatkan juga isteri saya Watie, anak-anak, keluarga dan juga perniagaan saya,” katanya menerusi satu video yang dimuatnaik di media sosial.

Mengulas lanjut, Shuib berkata, dia menghubungi Jep pada jam 1.51 pagi Jumaat lalu bagi memohon maaf atas tindakannya bersama Mamat menyindir pelawak itu dalam episod Dols Podcast yang turut menampilkan Azlee Senario.

“Saya kira dia telah pun terima WhatsApp tersebut dan mungkin telah membacanya, wallahualam. Saya penuh kesal dan memohon maaf kepada dia berulang kali, dan saya anggap ini ujian untuk saya dan balasan di atas kekhilafan saya dalam berkata-kata,” katanya.

Dalam pada itu, Shuib turut menjelaskan perkembangan pembayaran ansuran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh syarikat Bubblebee yang, menurutnya, sudah dibuat selama 10 bulan sejak Januari lalu.

“Yang kedua: Saya ingin nyatakan tentang isu KWSP di mana sekarang ini Alhamdulillah Bubblebee telah pun membuat bayaran ansuran selama 10 bulan kepada KWSP bermula bulan Januari lalu sampailah sekarang dan insya-Allah akan berbaki lagi 14 bulan,” katanya.

Selain itu, Shuib turut memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan tindakannya, selain mengakui dirinya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

“Saya sedar saya manusia yang tidak sempurna, selalu berbuat salah, selalu berbuat dosa. Jadi saya mohon maaf di atas kekhilafan saya,” katanya.

Pada masa sama, Shuib berkata dia turut memaafkan mereka yang mengecam, menghina atau memfitnah dirinya, isteri, anak-anak, keluarga serta perniagaannya.

Sehubungan itu, Shuib merayu orang ramai supaya tidak lagi membuat andaian, mengeluarkan kata-kata kesat atau menyebarkan fitnah sehingga menjejaskan pihak lain yang tidak terbabit dalam kontroversi berkenaan.

“Sepah Penyet, Bubblebee, Nusara Foods, Sambal Hitam adalah perniagaan yang sah, halal dan inilah dia sumber pendapatan keluarga saya sekarang. Dan inilah yang saya jalankan sekarang untuk membayar segala hutang syarikat iaitu Bubblebee.

“Janganlah kerana marahkan saya, isteri, anak-anak dan keluarga saya terlibat. Mereka tidak bersalah, saya yang bersalah dalam perkara ini. Dan janganlah juga kerana benci kepada saya, perniagaan saya diboikot, sedangkan perniagaan saya sah dan halal,” katanya.

Mengulas hubungannya dengan Jep, Shuib berkata persahabatan yang terjalin hampir 20 tahun itu menyimpan pelbagai kenangan, termasuk pengalaman susah senang dan kejayaan yang dikecapi bersama.

“Kita kenal dekat 20 tahun, hampir separuh daripada hidup aku. Aku tak akan boleh menidakkan kenangan yang telah pun kita bina selama ini. Selama kita bekerjasama, susah senang yang kita pernah lalui, kejayaan yang pernah kita capai, dan ianya akan aku simpan sebagai satu kenangan yang paling indah dalam hidup aku.

“Akuminta maaf di atas kekhilafan aku dan juga keegoan aku. Aku halalkan segala-galanya,” katanya.

Shuib turut mendoakan agar segala urusan Jep, isterinya, Sari Yanti, anak-anak dan seluruh keluarga sahabatnya itu dipermudahkan Allah SWT.

“Aku doakan kau agar Allah mudahkan segala urusan. Aku doakan kau dan juga keluarga engkau, isteri engkau Sari Yanti, aku doakan anak-anak engkau, aku doakan keluarga engkau, Allah mudahkan, Allah rahmat dunia dan akhirat.

“Sekali lagi, aku minta maaf. Semoga Allah akan uruskan segala permasalahan kita dengan baik.

“Aku minta maaf, Mohd Nadzri bin Zainal Abidin,” katanya mengakhiri kenyataan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini