SEMPORNA: Seramai 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyeludup masuk dari Pulau Sitangkai, Filipina menuju ke Bangau-Bangau, Sabah berjaya digagalkan anggota keselamatan, semalam.
Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, bot yang dinaiki 42 PATI itu berjaya dipintas oleh anggota ATB dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain yang sedang melakukan rondaan menerusi Op Benteng.
Berdasarkan pemeriksaan, kesemua PATI itu terdiri daripada 24 orang lelaki dan 18 orang wanita termasuk kanak-kanak yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan oleh Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) turut mendapati barangan yang ditemui hanya barang-barang persendirian dan tiada penemuan barang-barang terkawal atau merbahaya.
“Kedua-dua bot itu kemudian diusir keluar dari perairan Sabah oleh bot pasukan QRF VIPER 02 dan VIPER 05,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, pada awalnya, pergerakan tiga buah bot dari Pulau Sitangkai, Filipina dikesan oleh TRILAT 01, iaitu pesawat jenis C-130H milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semasa melakukan rondaan dan tinjauan udara.
Perkara itu terus dilaporkan ke Pusat Pemerintahan Maritim Malaysia (MCC) dan KD BAUNG yang berada berhampiran lokasi kejadian turut dihubungi oleh TRILAT 01 dan Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) ATB 2 untuk memantau ketiga-tiga bot tersebut.
Katanya, POWB ATB 2 juga mengarahkan KD BAUNG untuk mengekori dan memantau ketiga-tiga bot tersebut sehingga bot pasukan QRF VIPER 02 dan VIPER 05 tiba di lokasi namun, sebuah bot berjaya meloloskan diri.
Jelas beliau, bot pemintas pantas (FIC 04) bersama Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan pasukn QRF di Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) telah diatur gerakan ke perairan Pulau Pom Pom bagi mengesan sebuah bot yang berjaya meloloskan diri.
Walau bagaimanapun, bot yang berjaya meloloskan diri daripada pasukan keselamatan itu dijangka berpatah balik ke sempadan antarabangsa.
Abdul Karim berkata, kejayaan mematahkan penyeludupan masuk PATI itu hasil kerjasama erat antara ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mengatur gerak aset-aset perkhidmatan bagi melakukan rondaan yang efektif di kawasan pantai timur Sabah.
Tambah beliau, operasi sebegini akan diteruskan bagi memastikan sempadan negara sentiasa terkawal dalam usaha menangani jenayah rentas sempadan dan juga menyekat penularan wabak Covid-19.- UTUSAN ONLINE