Dalam sejarah penulisan puisi, penulis Almarhum Suhaimi Haji Muhammad dikategorikan penyair sufi kerana menghasilkan puisi tentang ketuhanan, tasawuf dan cinta terhadap Allah yang Maha Esa.
Menurut catatan Zabidin Ismail, penyair Suhaimi menukangi puisinya dengan aliran realisme, surelisme, mistikisme dan eksistensialisme.
Jelas Zabidin, Suhaimi mengutarakan empat aspek pemikiran iaitu Keadilan Sosial, Kepincangan Sosial, Keagamaan dan Sufisme. Tujuh kumpulan puisi Suhaimi iaitu Wujud (1997), At-Tariq (2000), An-Nur (2003), As-Salam (2006), Asyik (2006), Cintamu Ummi (2007), dan Taman Taqwa (2009) sudah cukup meletakkan Suhaimi sebagai Penyair Sufi yang berwibawa.
Justeru, apabila menatap 50 puisi dalam buku kumpulan puisi Jantung tak berdegup (JTB), adakah penulis Abuyon boleh dikategorikan penyair sufi? Sedangkan Abuyon hanya baru menerbitkan buku JBT kumpulan puisi yang pertama?
Buku JTB diterbitkan pada tahun 2024 oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) di bawah Projek Penerbitan Bahan Bacaan Karya Asli bertemakan kreatif dalam bahasa Melayu – “Buku PENA – Malaysia MADANI”.
Berdasarkan catatan biodata penulis, Abuyon atau nama sebenarnya, Mohd. Zailan Zamani berasal dari Paka, Terengganu. Beliau berkhidmat sebagai pensyarah kejuruteraan di sebuah politeknik.
Biar pun kepakaran Abuyon bidang kejuruteraan, Abuyon dinobatkan sebagai Pemenang Sayembara Puisi Ramadan 2021 IPM-GAPENA, pemenang dua kali Pisau Puisi 2021 Tukang Puisi, dan pemenang SAHARA Edisi September 2021 PENYAIR. Ini jelas menunjukkan bakat menulis Abuyon dalam genre puisi amat berbakat dan menyerlah.
Abuyon dalam Prakata menyatakan bahawa karya puisi ini menghimpunkan 50 sajak yang disusun dalam empat bahagian, Jantung Tak Berdegup, Petrichor Cinta, Tengkujuh, dan Seutas Tasbih.
Dan amat jelas bahagian Seutas Tasbih yang menghimpun 11 sajak bertemakan sajak-sajak ketuhanan. Apabila diamati kesebelas sajak, menepati kategori penyair sufi tentang ketuhanan, tasawuf dan cinta terhadap Allah yang Maha Esa.
Tajuk 11 buah sajak adalah Wujud, Mencari Dia, Tanda, Cinta-Nya, Haruman, Malam di Gaza, Seutas Tasbih, Kalam Tuhan yang Tercatat di Lembaran, Sejuta Malu, Pintu Tuhan, dan Kembali di Hujung Lailatulqadar.
Dipaparkan sajak Seutas Tasbih yang berkaitan ketuhanan.
Seutas Tasbih
Seutas tasbih di jarimu
seribu kaubilang-bilang.
Seribu tasbih di lidahmu
sejuta kauulang-ulang.
Sejuta tasbih di hatimu
seluruh jasad dan jiwamu
bergetar dengan nama
Tuhan.
Hilang seluruhmu, nyata
wujud Tuhan.
Mingguan Malaysia
9 Mei 2021
Menurut Shafie Abu Bakar – “sastera Islam merupakan gambaran yang dicerakin daripada kehidupan masyarakat dan bertujuan memberi pendidikan serta bimbingan ke arah menghayati nilai-nilai Islami yang lebih syumul”.
Justeru, amat jelas sajak-sajak yang ditulis Abuyon menepati kehendak sastera Islam. Walaupun Abuyon memfokuskan bahagian Seutas Tasbih bertemakan ketuhanan, sebenarnya sajak-sajak dalam tiga bahagian lagi lebih bercerita dan mengemukakan tentang kehidupan dalam Islam.
Diperturunkan sebuah sajak dalam bahagian Petrichor Cinta yang jelas menggambarkan tentang kehidupan dalam Islam.
Panahan Cinta
Tuhan –
Panahkan kami segugus cinta
setelah segumpal terik merata di tubuh
sekepal kering merekah di bibir
segenggam hangat mencengkam mata.
Lepaskan panah seberkas
biar tertancap kejap di bidang dada
biar alam kembali menyanyi
petani dalam senyumnya membugar tanah
anak-anak lena di rumah.
Tuhan –
Biar kami menatap mesra
awan redup berarak dan langit
yang ramah.
Mingguan Malaysia
3 Julai 2022
Sehubungan itu, layakkah Abuyon dipanggil penyair sufi? Layak atau tidak, hanya Abuyon yang menentukannya melalui gaya penulisan puisi. Setiap penulis memiliki jati diri yang akan menentukan darjat penulis berada di tingkat mana dalam jagat kesusasteraan.
Abuyon bukan sahaja cenderung mengemukakan puisi bertemakan keagamaan, malah mengangkat darjat ibu dalam puisinya. Semua sedia maklum, dalam Islam kata-kata ini sering diucapkan iaitu syurga di bawah tapak kaki ibu. Dipaparkan dua sajak tentang ibu untuk tatapan pembaca.
Perempuan yang
Kaupanggil Emak
(Buat emakku,
Halimah Salleh)
Jika hatimu berdetak marah
melontarkan kesat kata di lidah
kepada seorang perempuan yang kaupanggil emak
ingatlah, air susunya yang kau hisap
ketubannya yang pecah, merah darahnya
yang tersimbah.
Tatkala matamu belum luas terbuka
telapak kakimu cuma dua
setitis susunya yang menerobos
ke rongga adalah nafas-nafas
yang kautarik dan lepas.
Setitis darahnya yang tumpah
adalah sejuta urat dan
dagingmu terbina.
Mingguan Malaysia
22 Mei 2022
Manis Kenangan
(Buat bonda, Halimah Salleh)
Puding buih bersalut susu manis
pisang goreng hitam bersira
kucari merata di setiap bazar
yang kuronda.
Ketika matahari perlahan-lahan
melabuh mata, masih tidak kujumpa
manis dan sira meski ada molek
tersusun di atas beberapa meja.
Saat azan melengking dari corong suara
baru kusedar rupanya yang kucari
bukan manisan berbuka tetapi
manis kenangan bersama
bonda.
Mingguan Malaysia
8 Mei 2022
Kesimpulannya, buku JTB memiliki keistimewaan sendiri untuk dibaca dan dihayati oleh pembaca khususnya memberi pendidikan serta bimbingan ke arah menghayati nilai-nilai Islami yang lebih syumul. -UTUSAN










