Water Musical Festival diteruskan dengan penyesuaian program - Utusan Malaysia

Water Musical Festival diteruskan dengan penyesuaian program

ZAHID ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan flag-off KL Music Night Run di ibu negara, hari ini. GAMBAR - IQUBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penganjuran Water Musical Festival yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 1 Mei ini akan diteruskan dengan penyesuaian program bagi memastikan ia selari dengan nilai budaya Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan menyusun semula acara itu supaya perkara yang menimbulkan kontroversi dan polemik dapat dikurangkan.

“Kita akan sesuaikan program tersebut supaya perkara-perkara yang menjadi kontroversi dan polemik ini dapat dikendurkan,” katanya ketika ditemui pada acara KL Music Night Run di Pavilion Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas kebimbangan orang ramai, khususnya umat Islam, yang mempertikaikan kesesuaian festival itu termasuk dakwaan ia berunsur hiburan melampau serta tidak menepati norma budaya dan sensitiviti agama di negara ini.

Sebelum ini, pengumuman Water Musical Festival yang dianjurkan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bertempat di Bukit Bintang mencetuskan reaksi negatif di media sosial, dengan ramai mendesak agar acara dibatalkan.

Sebahagian pengguna media sosial turut bimbang berlakunya pergaulan bebas dan aktiviti yang dianggap tidak sesuai dengan nilai masyarakat majmuk Malaysia, selain menuntut kerajaan lebih peka terhadap sensitiviti umat Islam.

Kerajaan menegaskan pendekatan penyesuaian akan diambil bagi memastikan penganjuran festival itu tidak menjejaskan keharmonian sosial, sambil mengekalkan imej Malaysia sebagai negara berbudaya dan berteraskan nilai kesopanan.

Pada 28 Januari lalu, Pemuda Pas Malaysia membantah penganjuran festival berkenaan, menyuarakan kebimbangan terhadap lokasi di kawasan tumpuan awam yang sibuk, kesan penutupan jalan terhadap mobiliti bandar, operasi perniagaan kecil, serta keselamatan orang ramai.

Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Pemuda Pas, Mohamed Sukri Omar menegaskan konsep festival air terbuka dan hiburan jalanan berskala besar perlu dinilai semula agar tidak bercanggah dengan nilai, adab, dan sensitiviti budaya tempatan, sambil menggesa MOTAC dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menilai lokasi, skala, dan bentuk penganjuran acara tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN