PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa baru hari ini beliau mengetahui namanya disebut dalam emel yang penjenayah seksual Amerika Syarikat (AS), Jeffry Epstein.
Pada masa sama, Perdana Menteri juga memaklumkan baru hari ini juga ada pihak luar yang mahu bertemu dengannya seperti didedahkan dalam fail Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan dengan kes Epstein.
“Alhamdulillah, sudah belasan tahun seperti yang disebut dalam emel (tersebut) dan saya langsung tiada kaitan dengan mana-mana pihak yang berbalas emel itu, terutamanya Epstein,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.
Anwar juga dalam nada berseloroh memaklumkan beliau mahu menyambung kunjungan di Johor Bahru dan menggunakan tanda pagar #DoneExplain sebagai penutup hantaran tersebut.
“Ok, saya nak (hendak) sambung jalan-jalan di Johor Bahru. #DoneExplain,” katanya.
Terbaharu, nama Anwar kononnya muncul dalam jutaan helaian dokumen siasatan Agensi Perisikan Pusat (CIA) membabitkan Epstein didedahkan oleh DOJ AS.
Pada tarikh 21 Februari 2012, seorang rakan kongsi Epstein yang identitinya tidak didedahkan didakwa menghantar emel bertanya keperluan untuk mengatur pertemuan dengan Anwar dengan seorang lagi individu dikenali sebagai ‘Jes’ bagi meneroka potensi masa dengan untuk ‘JPM’.
Berdasarkan laporan, ‘JPM’ merujuk kepada syarikat perbankan di AS, JP Morgan manakala ‘Jes’ dipercayai merujuk kepada Jes Staley iaitu Ketua Pengarah Eksekutif pelaburan syarikat tersebut.
Dalam emel tersebut, individu yang tidak didedahkan identitinya itu mendakwa mengenali rapat dengan Anwar dan menjangkakan jika beliau menjadi Perdana Menteri, ia diibaratkan sebagai ‘lombong emas’ untuk syarikat perbankan berkenaan.
Epstein kemudian membalas emel itu dengan mencadangkan satu pertemuan pada bulan Mei, sambil bertanya sama ada Anwar akan ke Amerika Syarikat atau Eropah.
Kemudian, Epstein memberitahu sekutunya itu supaya menawarkan prospek pembikinan filem Hollywood di Malaysia.
“Anda boleh beritahunya bahawa Woody Allen bersama saya di Paris dan banyak negara menawarkan wang kepadanya untuk menghasilkan filem di negara mereka — ‘Midnight in Paris’, ‘(Vicky) Cristina Barcelona’, ‘Bop’, ‘Rome’ dan sebagainya,” katanya.
Emel tersebut berakhir di situ sahaja tanpa ada maklumat sama ada pertemuan tersebut berlaku atau sebaliknya.- UTUSAN










