fbpx

383 usahawan Insken catat hasil jualan lebih RM5.7 juta, cipta 174 peluang pekerjaan

NOH Omar menyampaikan ucapan semasa Majlis Graduasi Program Bimbingan Insken 2020 / 2021 yang diadakan di ibu negara semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 383 usahawan di bawah program bimbingan Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) berjaya mencatatkan peningkatan hasil jualan lebih RM5.7 juta dan mencipta 174 peluang pekerjaan sepanjang tahun lepas dan tahun ini. 

Peningkatan hasil jualan tersebut dicatatkan oleh 214 peserta Insken Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan 169 peserta Online Onboarding Coaching Programme (E-Board) yang dikawal selia Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, kejayaan Insken membuktikan program bimbingan dijalankan ternyata berkesan dalam membantu usahawan meneruskan kelangsungan perniagaan ketika sedang menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

Katanya, nilai gandaan yang dijana daripada peruntukan dana untuk melaksanakan kedua-dua program bimbingan itu juga menunjukkan catatan cemerlang. 

“Keseluruhan kos perbelanjaan untuk melaksanakan Program IBBC mencecah nilai gandaan sebanyak 4.9 dan 2.3 bagi Program E-Board dijana dalam bentuk peningkatan hasil jualan usahawan. 

“Program yang menggunakan pendekatan bimbingan secara one-on-one ini adalah wajar diteruskan serta ditingkatkan frekuensi pelaksanaannya agar lebih ramai usahawan mendapat manfaatnya,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

 

MUSLIMIN Yahaya menyampaikan anugerah kepada graduan-graduan Program Bumiputera Business Enhancement Programme (BBEP) semasa Majlis Graduasi Program Bimbingan Insken 2020 / 2021 yang diadakan di ibu negara semalam.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi Program Bimbingan Insken 2020/2021 yang turut dihadiri, Timbalannya, Muslimin Yahaya; Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd. Firdaus Azharuddin. 

Menurut Noh, peserta program Insken akan diberikan pertimbangan sewajarnya terhadap permohonan bantuan pembiayaan dengan agensi lain. 

Katanya, manfaat ini merupakan inisiatif kolaborasi antara agensi yang akan diteruskan oleh Insken.

“Seramai 214 peserta Program IBBC tamat bimbingan secara one-on-one selama empat bulan adalah usahawan daripada industri Barbershop, trak sajian makanan, spa, bengkel kereta, perancanh perkahwinan penyaman udara dan lain-lain servis berkaitan. 

“Semua peserta program ini yang dibimbing oleh pakar industri mencatat peningkatan jualan keseluruhan melebihi RM5.4 juta dan berjaya menawarkan 174 peluang pekerjaan baharu,” katanya. 

Sementara itu, Muhd. Firdaus berkata, Insken secara keseluruhannya melaksanakan 31 Program IBBC dan 10 kohort Program E-Board pada tahun ini, manakala 15 Program IBBC serta empat kohort Program E-Board masih lagi dalam tempoh pelaksanaan yang dijangka tamat dalam masa terdekat.

Katanya, kesemua peserta Program IBBC dan E-Board itu dipantau hasil jualannya dengan menggunakan aplikasi IPro yang merupakan sebuah sistem dibangunkan oleh Insken. 

“Insken akan memastikan usahawan mencatatkan data jualan sebelum dan ketika mengikuti program ke dalam sistem itu. 

“Tujuannya agar tindakan segera dapat diambil jika terdapat tanda usahawan memerlukan bantuan dan berada dalam kesusahan iaitu seperti penurunan graf jualan bulanan. 

“Selain itu, data ini juga digunakan bagi menilai keberkesanan program terhadap prestasi jualan perniagaan,” katanya. 

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Klassique Touch Weddings & Events Sdn Bhd, Azizie Azhar, 49, yang juga peserta terbaik bagi Program IBBC 2020: Wedding Planner berkata, pengalaman menyertai program IBBC banyak membantu dirinya untuk meneruskan kelangsungan perniagaan lebih lagi sepanjang pandemik Covid-19. 

“Waktu pandemik memang mencabar lebih lagi sektor perunding perkahwinan. Namun, program IBBC ini membolehkan saya mempelajari pelbagai ilmu meningkatkan perniagaan. 

“Program IBBC turut membimbing usahawan seperti saya untuk melaksanakan pelbagai program dan rancangan perniagaan yang membuahkan hasil positif dengan keuntungan rekod jualan melebih 130 peratus,” katanya. 

Bagi Peserta Terbaik Program E-Board 2021, Perunding Pewarisan Harta Islam, Wasiyyah Shoppe Berhad, Norain Abu Bakar, 57, pula berpendapat, program itu juga membimbing usahawan membuat transformasi perniagaan ke arah digital dengan memantapkan pemasaran secara atas talian melalui platform seperti Facebook, Instagram, TikTok, WhatsApp, Shopee, Lazada, Telegram dan YouTube.

“Perniagaan saya mencatatkan peningkatan hasil jualan tertinggi iaitu sebanyak 737 peratus menerusi program E- Board 2021 yang disertai bermula Mac hingga Julai lalu. 

“Saya menjalankan perniagaan perkhidmatan merancang harta dan urus pusaka dengan menggunakan teknik pemasaran di Facebook dengan betul dan tepat. 

“Bimbingan diberikan menjadi faktor pendorong yang menyumbang kepada hasil jualan meningkat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI