KUALA TERENGGANU: Musim tengkujuh di negeri ini akan menjadi tumpuan peminat sukan basikal lasak yang menyertai perlumbaan Golden Monsoon Ride 2021.
Pengarah Eksekutif Golden Pharos Bhd. (GPB), Dr. Mohd. Zaki Hamzah berkata, program yang julung kali diadakan itu membolehkan para peserta merasai pengalaman berlumba dalam suasana Monsun Timur Laut.
Katanya, seramai 1,000 peserta disasarkan menyertai perlumbaan pada 18 Oktober ini bertempat di Akademi TDM di Sungai Tong, Setiu.
“Setakat ini, kita sudah menerima 643 penyertaan bagi ketiga-tiga kategori iaitu kayuhan santai sejauh 53 kilometer, santai off road (25 kilometer) dan cabaran off road (25 kilometer).
“Golden Monsoon Ride bakal menguji ketangkasan peserta kerana mereka perlu melalui lima kawasan berbukit yang tentunya melibatkan kayuhan berliku untuk ke penamat,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Program yang dirintis Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.) itu melibatkan kerjasama lima anak syarikat iaitu GPB, TDM Bhd. (TDM), Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd. (EPIC), Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) dan Ladang Rakyat Sdn. Bhd..
Dr. Mohd. Zaki berkata, johan bagi cabaran off road bakal membawa pulang RM1,500 dan sijil diikuti tempat kedua RM1,000, ketiga (RM800), keempat (RM500) manakala kelima hingga ke-10 masing-masing RM100.
Sementara itu, katanya, penganjuran Golden Monsoon Ride akan dijadikan sebagai acara tradisi tahunan Kumpulan Terengganu Inc. sekali gus dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri bermula tahun depan.
Malah, menurutnya, perlumbaan bertaraf antarabangsa itu selaras dengan hasrat menjadikan Terengganu sebagai negeri kayuhan basikal pada 2022.
Orang ramai yang berminat menyertai Golden Monsoon Ride boleh menghubungi penganjur (Saiful) di talian 011-11924787 atau melayari laman Facebook GP Cycling Team. – UTUSAN










