GEORGETOWN: Lebih 40 pekebun sayur di Kampung Pertama, Seberang Perai Tengah (SPT) dekat sini terpaksa menanggung kerugian besar selepas tanaman mereka musnah dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat.
Keadaan menjadi semakin buruk sejak kebelakangan ini yang mana dalam tempoh hanya dua bulan lalu, kebun sayur mereka yang seluas kira-kira lapan hektar ditenggelami banjir kilat lebih 10 kali.
Situasi itu menyebabkan majoriti mereka terpaksa menanggung kerugian sehingga 80 peratus malah ada pekebun sayur yang langsung tidak boleh memulakan tanaman sejak September lalu kerana bimbang menanggung kerugian.
Menurut Pengerusi Penduduk Kampung Pertama, Lee Kheng Hwa, 50, masalah banjir kilat di kawasan itu bukan baru malah telah berlarutan sejak 30 tahun lalu dan semakin serius beberapa tahun kebelakangan ini.
Katanya, dia yang mengusahakan tanaman sayur seperti kangkung, bayam, bendi dan sawi di tanah seluas kira-kira 0.8 hektar tidak dapat mengusahakan tanamannya sejak beberapa bulan lalu kerana kebunnya masih digenangi air.
“Setiap kali hujan lebat pekebun sayur-sayuran di kampung ini akan menanggung kerugian kira-kira RM3,000 akibat tanaman mereka musnah dilanda banjir.
“Dalam masa sama, kami juga terpaksa menanggung kos lebih tinggi jika ingin menanam semula disebabkan harga anak benih, racun dan sebagainya yang semakin mahal ketika ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita sewaktu menyertai Setiausaha MCA negeri, Yeoh Chin Kah menyerahkan memorandum berkenaan masalah itu kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini hari ini.
Sementara itu seorang lagi pemilik kebun, Choo Meng Hock, 44, berkata, kebun sayur-sayuran seluas 0.2 hektar yang diusahakannya di kawasan itu pernah ditenggelami air selama 10 jam selepas hujan lebat.
“Apa yang dikesalkan, kami juga sudah beberapa kali mengadu kepada pihak berwajib termasuk wakil rakyat di kawasan itu, namun sehingga kini tiada tindakan diambil,” katanya.
Dalam pada itu, Chin Kah menggesa kerajaan negeri memberi perhatian serius dan menyelesaikan segera masalah yang dihadapi pekebun-pekebun sayur berkenaan bagi mengelak mereka terus menanggung kerugian.
Katanya, antara penyelesaian segera yang boleh diambil seperti diminta pekebun itu adalah menyediakan dua pam air untuk mengalirkan air hujan berlebihan dari kebun mereka ke laut atau sungai setiap kali selepas hujan.
Selain itu tambahnya, pekebun juga meminta sistem perparitan dan longkang di kawasan berkenaan dibersihkan lebih kerap berikutan semakin cetek disebabkan terlalu banyak projek pembinaan dan pembersihan kawasan berdekatan kebun mereka.
Jelas beliau, tindakan segera perlu diambil bagi mengelak kesan lebih besar terutama harga sayur yang terus meningkat ekoran kekurangan bekalan lebih-lebih lagi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
“Sebab itu kita memberi tempoh seminggu selepas memorandum ini diserahkan untuk kerajaan negeri menyelesaikan isu ini atau kita mungkin mengadakan bantahan dengan lebih kerap dan melibatkan lebih ramai pekebun selepas ini,” katanya.