MELAKA: Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2025 bakal menjadi medan untuk mencari jalan bagi mengubah minda ahli-ahli Dewan memahami peranan mereka bukan untuk berpolitik.
Menegaskan perkara tersebut, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, ahli Dewan sepatutnya harus tahu kehadiran mereka di Dewan mewakili suara rakyat.
“Apabila dia masuk ke dalam Dewan, dia mewakili suara rakyat. Bukan suara parti dia. Bukan juga personal. Jadi dia mewakili rakyat.
“Walaupun dia menang atas parti apa pun, tetapi saat dia masuk ke dalam Dewan, dia mewakili rakyat. Jadi kita hendak supaya pemikiran itu harus dibina dari sekarang,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2025, di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Johari berkata, perkara itu adalah antara agenda utama yang akan dibincangkan sepanjang empat hari persidangan bermula semalam hingga Isnin ini.
Menurutnya, dalam era di mana kepercayaan awam terhadap institusi sering teruji, peranan dari kerusi Speaker kini menjadi semakin kritikal.
Justeru katanya, sebagai benteng yang mempertahankan integriti Dewan adalah sebagai institusi semak dan imbang terhadap badan eksekutif.
“Peranan kita yang lebih luhur adalah sebagai penjaga amanah demokrasi sebagai pengadil yang memastikan padang perbahasan sentiasa sama rata, di mana suara majoriti diraikan dan hak minoriti tetap dilindungi,” ujarnya.
Jelasnya, setiap keputusan yang dibuat dari Kerusi Speaker termasuk teguran dan peluang berbahas semuanya menyumbang kepada usaha menyuburkan serta mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi.
“Apabila rakyat yakin bahawa dewan berfungsi dengan adil dan telus, maka keyakinan mereka terhadap negara juga akan meningkat,” ujarnya. – UTUSAN










