SIMPANG RENGGAM: Keadaan kemudahan asas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang didakwa masih ketinggalan walaupun kawasan tersebut pernah diwakili Menteri Besar Johor, sebelum ini.
Naib Presiden Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan berkata, penduduk di kawasan itu masih berdepan pelbagai kekurangan termasuk kesukaran mendapatkan kemudahan perbankan dan liputan telekomunikasi yang memuaskan.
Menurutnya, keadaan tersebut sekaligus menimbulkan persoalan mengenai tahap pembangunan di kawasan yang pernah diwakili pemimpin nombor satu negeri itu.
“Saya pergi ke DUN Layang-Layang ini, saya kena bawa duit daripada Kuala Lumpur sebab nak cari mesin ATM susah. Nak pakai internet pula, Maxis tak boleh, Celcom tak boleh, Digi okay lah sikit,” katanya ketika berucap pada ceramah Jelajah Johor ke depan undi Harapan di tapak parkir bersebelahan McDonald’s Simpang Renggam, malam ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kawasan yang pernah melahirkan pemimpin tertinggi negeri sepatutnya menikmati pembangunan serta kemudahan asas yang lebih baik untuk manfaat penduduk.
“Kekurangan peluang pekerjaan dan pembangunan menyebabkan ramai anak muda memilih berhijrah ke luar kawasan bagi mencari rezeki yang lebih baik.
“Keadaan itu perlu diubah menerusi kepimpinan yang mampu membawa pembangunan secara lebih tersusun dengan sokongan Kerajaan Persekutuan. Sehubungan itu, saya gesa pengundi membuat pilihan yang tepat pada PRN Johor bagi memastikan setiap kawasan menerima limpahan pembangunan dan kemudahan yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










