Melaka galak orang ramai pilih ke Melaka musim cuti sekolah

Melaka galak orang ramai pilih ke Melaka musim cuti sekolah

AB. Rauf Yusoh melakukan pecah tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Program Pendidikan Khas Intergrasi (PKKI) di SMK Bukit Katil, Melaka, semalam. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka menggalakkan orang ramai memilih Melaka sebagai destinasi percutian sempena musim cuti sekolah yang bermula esok, susulan keadaan cuaca yang stabil serta kesiapsiagaan negeri ini dalam memastikan keselamatan dan keselesaan para pengunjung.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, Melaka kekal sebagai antara destinasi pelancongan pilihan pada musim cuti sekolah berikutan pelbagai program menarik serta lokasi tumpuan pelancong yang tersedia di seluruh negeri.

Menurut beliau, dari segi penginapan, Melaka mempunyai kapasiti mencukupi merangkumi hotel bertaraf dua hingga lima bintang, hotel bajet, resort serta inap desa bagi menampung kehadiran pelancong domestik yang dijangka meningkat sepanjang tempoh cuti ini.

“Insya-Allah, keadaan semasa di Melaka adalah stabil dan tidak terjejas oleh banjir, khususnya di kawasan tumpuan pelancong seperti Banda Hilir serta pantai-pantai peranginan termasuk Klebang, Pantai Puteri, Tanjong Bidara dan Pengkalan Balak.

“Keadaan ini membolehkan pelbagai aktiviti pelancongan dirancang dan dilaksanakan dengan lancar demi memberikan pengalaman terbaik kepada para pengunjung,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil, di sini semalam.

Beliau diminta mengulas situasi banjir yang kini melanda Johor dan Pahang di Pantai Timur serta keadaan di Hat Yai yang belum reda akibat banjir besar melanda Selatan Thailand baru-baru ini.

Ab. Rauf berkata, antara acara utama yang bakal menjadi tumpuan ialah Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 serta peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM2.0) yang akan diadakan di Encore Melaka, sekali gus dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.

Menurut beliau, hujung tahun ini turut menyaksikan semua pusat beli-belah utama di Melaka menawarkan potongan harga istimewa sempena Promosi Akhir Tahun (Year End Sale), yang bukan sahaja menarik kehadiran pengunjung, malah menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan dan ekonomi negeri.

“Seperti musim cuti sekolah terdahulu, Melaka terus menyediakan pelbagai aktiviti dan program sehingga ke penghujung tahun bagi memastikan pengalaman percutian yang menyeronokkan kepada seisi keluarga,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan keprihatinan Kerajaan Negeri Melaka terhadap rakyat di kawasan yang terjejas akibat bencana banjir di beberapa lokasi, serta mendoakan agar urusan pemulihan dan bantuan kepada mangsa dipermudahkan.

Ab Rauf berkata, kerajaan negeri melalui Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) telah menyusun lebih 10 program khas sempena musim cuti sekolah bagi menarik kehadiran pelancong domestik dan menyemarakkan sektor pelancongan negeri.

Katanya, antara program yang disediakan ialah Gerup Gerak Khas Jubli Intan, pelbagai persembahan di Panggung Bangsawan, Karnival D’Bendang, Karnival Masjid Tanah Kampung Kita serta program Bila Larut Malam yang diadakan pada Sabtu minggu pertama setiap bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN