DAMSYIK: Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara terhadap puluhan sasaran kumpulan militan IS di Syria pada Jumaat sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas anggota AS, menurut dua pegawai AS.
Serangan itu dilakukan selepas Presiden, Donald Trump berikrar untuk bertindak balas susulan serangan pada hujung minggu lalu di Syria yang didakwa dilakukan oleh seorang anggota IS.
Seorang pegawai AS yang enggan dikenali menyifatkan serangan berkenaan sebagai tindak balas berskala besar yang menyasarkan lokasi di seluruh wilayah tengah Syria.
Trump dalam satu hantaran di media sosial berkata kerajaan Syria memberikan sokongan penuh terhadap serangan tersebut dan AS sedang melancarkan tindak balas yang sangat serius.
Komando Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan lebih 70 sasaran di seluruh Syria tengah telah diserang, sambil menambah bahawa jet pejuang Jordan turut menyokong operasi itu.
Syria pula menegaskan komitmen teguhnya untuk memerangi IS dan memastikan kumpulan itu tidak mempunyai sebarang tempat perlindungan selamat di wilayah Syria, menurut kenyataan Kementerian Luar negara itu.
Pada Sabtu lalu, dua anggota Pengawal Kebangsaan Iowa AS dan seorang jurubahasa awam terbunuh di bandar Palmyra, Syria tengah, apabila seorang penyerang menyasarkan konvoi pasukan AS dan Syria sebelum ditembak mati, menurut tentera AS. Tiga lagi anggota tentera AS turut cedera dalam serangan tersebut.
Ketika ini, kira-kira 1,000 anggota tentera AS ditempatkan di Syria dengan misi untuk menghalang kebangkitan semula IS di rantau itu.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth memberi bayangan bahawa serangan terhadap IS akan diteruskan.
“Ini bukan permulaan perang, ini adalah pengisytiharan pembalasan. AS, di bawah kepimpinan Trump, tidak akan teragak-agak dan tidak akan berundur dalam mempertahankan rakyatnya.
“Hari ini, kami memburu dan membunuh musuh kami. Ramai daripada mereka. Dan kami akan teruskan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial. Namun, beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai serangan itu.
Menurutnya, serangan menerusi operasi dinamakan ‘Operation Hawkeye Strike’ tersebut menyasarkan pejuang ISIS, infrastruktur dan tapak senjata. -AGENSI










