ALOR GAJAH: Bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Zamzuri Ariffin memberi jaminan akan menyelesaikan banjir kilat yang sering melanda bandar itu terutama di Dataran Keris dekat sini.
Beliau yang juga calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia menegaskan, sepanjang 22 bulan menjaga Alor Gajah, sepatutnya banjir tersebut dapat dikurangkan kepada 80 peratus.
Menurutnya, beliau telah mencadangkan pembinaan tebatan banjir di sekitar bandar itu yang mempunyai beberapa fasa tetapi yang peliknya ia tidak dilaksanakan hingga kini.
“Saya sudah buat cadangan itu tetapi tidak dapat dilaksanakan sebab dalam tempoh 22 bulan adalah tempoh yang singkat, tidak dapat melaksanakan apa yang dirancang.
“Sepatutnya, orang lain yang ambil alih tempat saya teruskanlah usaha membina tebatan banjir, namun ia tidak dilakukan hingga kawasan di Dataran Keris kerap dilanda banjir setiap kali hujan lebat.
“Tetapi malangnya pembinaan tebatan banjir itu tidak dilaksanakan dan keadaan tersebut tidak boleh hendak dielakkan daripada berlakunya banjir kilat,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan PN DUN Rembia, di sini hari ini.
Zamzuri yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Alor Gajah menambah, jika beliau dipilih oleh pengundi, masalah tersebut adalah perkara utama akan dilaksanakan dengan segera.
Ujarnya lagi, perkara kedua yang akan diusahakan pula ialah pembinaan stadium mini dilengkapi pelbagai kemudahan sukan seperti mana terdapat di Jasin dan Masjid Tanah.
“Saya telah membuat cadangan tersebut dan telah berbincang dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan, membeli tanah seluas 13 ekar tetapi bila saya berhenti sebagai Yang Dipertua MPAG, perkara itu terhenti,” ujarnya.
“Sedih melihat Alor Gajah tidak ada padang bola sepak yang sempurna untuk golongan muda. Ada padang pun teruk dan membahayakan mereka yang bermain,” jelasnya. – UTUSAN