BESUT: Hidup seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) yang pernah dikenali sebagai ‘Budak Ajaib’ kerana kemampuannya menemukan barangan hilang di dasar sungai atau laut, kini berubah akibat serangan strok.
Mohamad Najmi Daud, 37, atau lebih dikenali dengan panggilan Awie sebelum ini dikenali selepas berjaya menemukan mayat mangsa lemas dalam tempoh 10 minit pada Oktober 2020 walaupun keadaan air laju dan keruh.
Katanya, dia terkena serangan penyakit strok pada awal Disember tahun lalu dan kejadian itu berulang pada 5 Januari lepas.
“Awalnya saya tidak mengetahui tentang serangan strok ini kerana tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit lain termasuk darah tinggi atau diabetes. Tetapi sebelum serangan pertama saya berasakan kesukaran untuk berjalan dan kaki sebelah kanan tidak boleh diangkat.
“Semasa serangan pertama, saya ditemukan tidak sedarkan diri oleh ahli keluarga dan dibawa ke Hospital Besut sebelum disahkan terkena minor strok di bahagian sebelah kanan badan dan kini terpaksa bergerak menggunakan tongkat,” katanya ketika ditemui di Kampung Tengah di sini.
Menurut Mohamad Najmi, sejak itu hidupnya berubah dan tidak lagi boleh melakukan kerja-kerja harian serta mencari rezeki dengan membantu menaikkan ikan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besut atau mencari barangan terpakai.
Susulan itu, dia terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM450 sebulan.
Katanya, dia kini masih menjalani rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan dalam fasa pemulihan.
Dia yang merupakan OKU penglihatan berkata, meskipun keadaannya kini tidak sekuat dahulu namun keinginan untuk terus menyelam ke dasar sungai tetap ada kerana ia menjadi sebahagian hidupnya.
“Saya terlibat dengan aktiviti menyelam ini sejak usia 12 tahun dan jadi sumber pendapatan sampingan. Saya diupah mencari barangan berharga milik individu yang terjatuh ke dalam laut.
“Biasanya saya mampu menyelam hingga kedalaman tiga meter tanpa menggunakan peralatan pernafasan dan mampu menahan nafas sehingga 10 minit ” katanya.-UTUSAN.










