PETALING JAYA: Walaupun kongres pemilihan kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka hanya berlangsung dalam tempoh lebih tiga bulan, mana-mana individu yang berhasrat menyertai badan induk itu sudah boleh mula merangka langkah awal.
Situasi berkenaan tercetus susulan keputusan semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029 meletakkan jawatan serta-merta, kelmarin, selepas hanya kira-kira 11 bulan menggalas amanah sejak dipilih pada kongres pemilihan Februari tahun lalu.
Secara teknikal, tiada halangan buat mana-mana individu untuk menawarkan diri merebut jawatan dalam struktur FAM, termasuk kemungkinan bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi penggal berkenaan kembali mencuba nasib pada pemilihan akan datang.
Namun begitu, bekas Pemangku Presiden dan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi memaklumkan setakat ini tiada sebarang petunjuk bahawa barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif yang meletak jawatan berhasrat untuk bertanding semula dalam masa terdekat.
Menurut beliau, situasi semasa masih terlalu awal untuk memikirkan soal pemilihan, memandangkan fokus utama ketika ini adalah melihat proses reformasi pentadbiran FAM.
“Setakat ini saya boleh katakan mereka semua tidak menunjukkan apa-apa reaksi untuk bertanding semula, sebab mungkin benda ini (letak jawatan) masih baharu. Pada saya, mereka lebih nak melihat apa perubahan yang akan berlaku di FAM dulu.
“Apa penilaian AFC untuk menambah baik FAM selepas ini, dan jika ada kelemahan berlaku, mungkin AFC boleh bantu buat perubahan itu. Mungkin kemudian baru mereka putuskan sama ada nak bertanding balik atau tidak.
“Namun, secara keseluruhannya boleh saya katakan tiada yang sebut nak bertanding balik atau apa, tidak ada, cuma mereka lebih memikirkan untuk bersama-sama melihat perubahan pada FAM,” katanya.
Kongres pemilihan kepimpinan baharu hanya diadakan selepas keseluruhan proses reformasi pentadbiran FAM selesai dilaksanakan oleh jawatankuasa interim dan AFC. – UTUSAN










