TEMERLOH: Kehalusan seni pertukangan Melayu Terengganu pernah terpahat di bumi Singapura apabila tukang kayu dan pengukir warisan dari Pantai Timur diberi kepercayaan membina sebuah kompleks istana berkonsepkan kesultanan Melayu di Geylang Serai.
Pengarah Kayuma Industry, Mohamad Awik berkata, kompleks istana tersebut dibina sebagai pusat perhimpunan masyarakat Melayu Singapura bagi melaksanakan adat istiadat, majlis keagamaan serta pelbagai acara kebudayaan,
Katanya, dibina di atas kawasan seluas kira-kira dua hektar, istana replika itu dilengkapi balai rong seri, pintu gerbang utama serta rumah pembesar yang mengelilingi bangunan induk, menampilkan seni bina Melayu tradisional yang sarat dengan ukiran kayu halus bertaraf tinggi.
Menurutnya, pembinaan istana difahamkan sebagai tanda penghargaan kerajaan Singapura terhadap sokongan dan pengorbanan masyarakat Melayu kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) serta kepimpinan Perdana Menteri pertamanya.
“Bagi menjayakan pembinaan istana ini, kerajaan Singapura mendapatkan kerjasama kerajaan Malaysia untuk mencari tukang kayu dan pengukir Melayu yang benar-benar mahir dalam seni bina dan seni ukir tradisional,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Peragap, Kerdau, di sini, semalam.
Beliau berkata, antara tukang utama yang terlibat ialah keturunan pengukir kayu tersohor dari Terengganu, Che Long Yusof.
Bagaimanapun, katanya, istana indah itu akhirnya diarahkan untuk dirobohkan selepas tempoh pajakan tanah selama 46 tahun berakhir pada 2011.
Menurutnya, kerajaan Singapura kemudian membuka tender antarabangsa bagi kerja-kerja perobohan istana berkenaan dengan pemenang tender diberikan hak membawa pulang khazanah seni ukir dan komponen seni bina di dalamnya.
“Saya berulang-alik ke Singapura bagi mendapatkan maklumat sebelum ditakdirkan memenangi tender tersebut dengan nilai RM78,000,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan Singapura hanya memberikan tempoh tujuh hari untuk membawa keluar barangan berharga termasuk panel ukiran dinding, pintu dan tiang.
“Misi saya selepas itu adalah menyelamatkan khazanah seni ukir ini yang tidak ternilai harganya,” katanya.-UTUSAN.










