PELAKSANAAN Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) melibatkan sektor darat dan udara melegakan banyak pihak terutama pekerja Malaysia yang berada di Singapura sejak sekatan pergerakan dilaksanakan Mac 2020.
Bermula hari ini, pengembara yang memohon untuk hadir ke Malaysia atau pulang bercuti di bawah skim itu mula menyeberangi tambak tanpa perlu menjalani proses kuarantin.
Bagi VTL darat, mereka akan menaiki bas dari Terminal Queen Street (TQS) di Singapura ke Terminal Larkin Sentral di Johor Bahru bagi menjalani Ujian Saringan Covid-19 Atas Ketibaan (OAT) di ruangan khas.
Kerja-kerja persediaan menerima kumpulan pertama berjumlah 1,440 pengembara juga sudah lengkap 100 peratus dengan jangkaan ketibaan bas pertama seawal pukul 9.20 pagi.
Bagi minggu pertama VTL darat, kesemua tiket bas bagi perjalanan Singapura-Malaysia telah habis ditempah melibatkan dua syarikat yang menawarkan perkhidmatan itu. – UTUSAN ONLINE