PETALING JAYA: Syarat yang diberikan Kementerian Kesihatan supaya semua jemaah umrah Malaysia diwajibkan untuk mengambil suntikan dos penggalak sebelum berangkat ke Tanah Suci mendapat maklumbalas positif daripada syarikat pengendali pakej umrah.
Menurutnya mereka, syarat itu bukan sesuatu yang menyusahkan kerana Kerajaan Arab Saudi sudah membenarkan individu yang mendapat vaksin Sinovac dan Sinopharm untuk menunaikan umrah dengan syarat mengambil suntikan dos penggalak jenis Pfizer, AstraZeneca, Moderna, dan Johnson & Johnson.
Pengarah Urusan Al Romah Tours & Services, Azhar Che Lat berkata, syarat yang dikemukakan oleh kementerian terbabit adalah langkah yang bagus dalam mengawal dan menghentikan penularan wabak Covid-19.
“Dahulu Kerajaan Arab Saudi langsung tidak membenarkan rakyat Malaysia yang mengambil Sinovac untuk pergi ke sana, seperti kita tahu terdapat sebilangan besar rakyat Malaysia yang sudah pun mengambil vaksin yang dikeluarkan oleh syarikat China itu.
“Jadi kelonggaran oleh pihak sana (Arab Saudi) untuk membenarkan rakyat kita dengan syarat mengambil dos penggalak tidak sepatutnya ada isu yang timbul lagi mengenai hal ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu, pihaknya sedang berusaha dan berbincang dengan Kerajaan Arab Saudi itu agar tidak ada amalan diskriminasi vaksin.
Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan kenyataan untuk membenarkan penerima vaksin Sinovac menunaikan ibadah di sana dengan syarat mengambil suntikan dos pengalak.
Pengarah Eksekutif Wira Saujana Travel & Tours, Mohammad Adzri Othman turut memuji tindakan yang diambil oleh kerajaan Arab Saudi dalam mewujudkan Green Bubble dan mengharap isu pengambilan dos tambahan itu tidak dijadikan masalah oleh jemaah.
“Kerajaan mereka sudah memudahkan jemaah daripada Malaysia untuk menunaikan umrah dengan hanya perlu mengikut syarat yang ditetapkan oleh mereka, jemaah turut tidak diwajibkan untuk kuarintin sebaik sahaja tiba disana hanya perlu melakukan ujian saringan Covid-19,” katanya.
Tambahnya, usaha oleh Kementerian Kesihatan suatu langkah yang baik dan harus dipuji dengan memudahkan jemaah untuk mendapatkan temujanji suntikan dos penggalak dengan hanya menggunakan aplikasi MySejahtera namun ia mengharapkan kementerian berkenaan mengkaji semula kewajiban kuarantin.
“Ini kerana jemaah yang menunaikan umrah sudah pasti lengkap vaksin ditambah pula dengan dos tambahan serta membuat PCR test, kita ke negara yang mempunyai kes purata rendah malah diberikan kelonggaran untuk tidak kuarintin tetapi bila pulang ke negara sendiri jemaah diwajibkan kuarantin,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE










