Unit #MyMudah permudah operasi perniagaan - PM

Unit #MyMudah permudah operasi perniagaan – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkukuhkan inisiatif #MyMudah melalui penubuhan Unit #MyMudah di semua Kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, unit yang sama juga dicadangkan ditubuhkan di peringkat kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta persatuan industri untuk bersama-sama memudahkan operasi perniagaan. 

Beliau berkata, unit ini berfungsi untuk mengadakan semakan peraturan secara terancang bagi memudahkan persekitaran perniagaan untuk melonjakkan produktiviti dan daya saing.  

Perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari  ini bagi membincangkan strategi memulih dan memperkukuh ekonomi negara pasca Covid-19 khususnya dengan meningkatkan usaha memudahcara urusan perniagaan serta memperkukuh perdagangan Malaysia.  

“Secara prinsip bersetuju untuk membangunkan Platform Acara Perdagangan Bersepadu khusus untuk mempromosi bagi mempertingkatkan daya saing perdagangan dan nilai eksport negara secara digital selaras dengan landskap perdagangan baharu di era pendigitalan.

“Secara prinsip bersetuju mewujudkan Portal Maklumat Tunggal iaitu portal komprehensif merangkumi semua maklumat merentasi rantaian nilai eksport untuk memudahkan syarikat Malaysia terlibat secara aktif di peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, kementerian, kerajaan negeri, PBT serta agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu komited merealisasikan program uji kaji peraturan melibatkan pemegang taruh awam dan swasta secara bersama.

Katanya, ia bagi menilai kecekapan dan kesesuaian peraturan sedia ada dan seterusnya mencadangkan beberapa kelonggaran peraturan berpandukan saranan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). 

“Pelaksanaan inisiatif ini diharap dapat membantu memudahcara urusan perniagaan seperti kelulusan permit pembinaan dan lesen operasi perniagaan di peringkat Persekutuan mahupun negeri,” katanya. 

Perdana Menteri berkata, satu penanda aras antarabangsa juga akan dibuat terhadap negara-negara yang dikenal pasti mempunyai persekitaran perniagaan kondusif, khususnya dalam aspek digitalisasi, model perniagaan yang efisien, keterbukaan pasaran dan tahap sokongan kepada Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).  

Dalam soal meningkatkan daya saing eksport negara, kata beliau, aspek pendigitalan ekosistem perniagaan dikenal pasti sebagai salah komponen utama dalam Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (RTPN) 2021-2025 yang telah dilancarkan.

“Di samping itu, negara juga mensasarkan peningkatan sumbangan eksport sektor PMKS daripada 8.5 peratus pada tahun 2020 kepada 25 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara selari dengan sasaran yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).  

“Kerajaan akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya melalui pemulihan sektor ekonomi yang akan menekankan kepada keupayaan daya saing industri dan penciptaan peluang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN