KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan dalang di sebalik insiden pembakaran mercun yang mencetuskan kekecohan kecil ketika Himpunan Tangkap Azam Baki di ibu negara, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, siasatan dibuka di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, dan kini giat dijalankan bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab.
Katanya, setakat ini pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada kejadian tersebut mempunyai unsur sabotaj atau dilakukan secara sengaja oleh pihak tertentu.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengumpul bukti di lokasi kejadian serta mengenal pasti individu yang terlibat,” katanya dalam sidang akhbar di Dataran Merdeka di sini.
Katanya hasil pemeriksaan di lokasi turut menemukan satu bungkusan mercun yang belum sempat digunakan, dipercayai jenis mercun yang lazim digunakan ketika sambutan perayaan.
Polis tidak menolak kemungkinan akan memanggil penganjur himpunan, individu terlibat serta saksi bebas bagi membantu siasatan.
“Sehingga kini, tiada laporan polis diterima daripada orang awam atau peniaga berhubung kejadian ini,” katanya.
Polis memandang serius sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus. – UTUSAN









