Polis cari dalang bakar mercun di Himpunan Tangkap Azam Baki 

Polis cari dalang bakar mercun di Himpunan Tangkap Azam Baki 

ORANG ramai berhimpun ketika Himpunan Tangkap Azam Baki di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini hari ini - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis mencari dalang yang terlibat dalam insiden pembakaran mercun dalam Himpunan Tangkap Azam Baki di ibu negara hari ini.

Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, untuk itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 berhubung kes tersebut.

Katanya, setakat ini, polis tidak dapat mengesahkan sama ada insiden pembakaran mercun tersebut merupakan satu bentuk sabotaj. 

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengumpul bukti dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

“Hasil pemeriksaan turut menemukan satu bungkusan mercun yang tidak sempat diletupkan dipercayai jenis mercun sambutan perayaan,” katanya dalam sidang akhbar di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Sazalee juga tidak menolak kemungkinan akan memanggil penganjur, individu terlibat serta saksi bebas yang menyaksikan kejadian bagi membantu melengkapkan siasatan.

“Sehingga kini, tiada laporan polis diterima daripada orang awam atau peniaga berkaitan kejadian itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sazalee berkata, kira-kira 300 peserta menyertai himpunan itu berlangsung dengan aman dan terkawal.

Katanya, seramai 200 pegawai dan anggota polis terlibat dalam operasi pemantauan termasuk bantuan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Bukit Aman.

“Secara keseluruhannya, perhimpunan yang bermula di sekitar Kompleks Sogo itu berjalan dengan aman dan terkawal.

“Bagaimanapun, suasana sedikit kecoh apabila berlaku insiden pembakaran mercun di sepanjang perarakan namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya.

Katanya, pihak sekretariat tidak membuat sebarang permohonan atau pemakluman rasmi berhubung penganjuran himpunan tersebut. 

“Kita kemungkinan akan panggil pihak penganjur,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sazalee turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama yang diberikan sehingga perhimpunan berkenaan dapat berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN