‘Tiada niat aniaya peneroka’ - Utusan Malaysia

‘Tiada niat aniaya peneroka’

AHMAD PARVEEZ GHULAM KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Kalau peneroka bawa buah tandan sawit bersih 15 tan, itu lebih daripada ke­biasaan.”

Itu reaksi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berhu­bung penetapan hanya 15 tan metrik buah tandan sawit ber­sih (BTB) boleh dihantar se­orang peneroka ke kilang-ki­lang Felda.

Ini kerana keputusan itu di­buat berdasarkan anggaran keluasan tanah dan hasil yang diperoleh mengikut kebiasaan yang dilakukan oleh peneroka tanah rancangan itu.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, seorang pene­roka lazimnya memiliki keluasan tanah sebanyak empat hektar dan mampu menghasilkan buah sawit sebanyak satu tan metrik untuk 0.4 hektar tanah bagi tempoh satu bulan.

“Kita bukan hadkan banyak mana BTB boleh hantar setiap peneroka, tetapi peraturan itu sudah mengambil kira anggaran kadar purata kebangsaan. Seorang peneroka kalau ke­a­daan biasa boleh menghasilkan satu tan merik buah untuk 0.4 hektar tanah. Kalau empat hektar bererti 10 tan metrik buah.

“Kalau hantar 15 tan metrik buah mengikut peraturan itu, bermakna mereka sudah menghasilkan 50 peratus lebih tinggi, lebih daripada kebiasaan,” katanya di sini semalam.

Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar mendakwa, peraturan MPOB itu disifatkan sebagai tidak masuk akal dan seolah-olah tidak menggalakkan peneroka Felda mendapat pulangan tinggi terutama ketika harga BTB yang meningkat ketika ini sekitar RM1,140 satu tan metrik mengikut kadar perahan.

Peraturan itu dikatakan membebankan selepas warga peneroka berdepan masalah kekurangan tenaga buruh asing penuai sawit hingga mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM3,000 seorang sebulan.

Ahmad Parveez berkata, mana-mana peneroka yang mahu menghantar melebihi had jumlah itu tetap diterima jika mereka boleh membuktikan ia adalah hasil sebenar daripada tanah mereka sendiri.

Bagaimanapun kata beliau, ia adalah sesuatu yang mencurigakan jika ada peneroka mampu mendapat hasil tinggi dalam keadaaan pengeluaran hasil sawit mengalami pengurangan sebanyak 10 peratus.

Justeru, katanya, jika mereka boleh mencapai hasil 50 pe­ratus lebih tinggi, ia agak meme­ranjatkan.

Beliau berkata, MPOB tiada niat menganiaya golongan peneroka dengan menetapkan peraturan itu, malah mana-mana pihak yang tidak jelas berhubung apa-apa isu boleh berjumpa pihaknya untuk mendapatkan penjelasan sebenar.

Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Razuan Esa menggesa Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) supaya mengkaji semula tempoh pembayaran hasil kepada pe­neroka yang mengambil masa sehingga sebulan ketika ini.

Menurut beliau, ia dilihat keperluan mendesak buat pe­neroka di 317 tanah rancangan yang memerlukan wang tunai dengan kadar segera.

Katanya, perkara itu perlu dibuat bagi mengatasi masalah peraturan yang mengehadkan hanya 15 tan metrik BTB boleh dihantar oleh seorang peneroka ke kilang-kilang Felda.

Katanya, ini berikutan tujuan asalnya adalah untuk mengelakkan peneroka menghantar BTB menggunakan akaun pe­neroka lain bagi mendapatkan tunai segera.

“Contohnya, seorang pene­ro­ka menjual harga sawit kepada peneroka lain untuk peroleh tunai berbanding tempoh sebulan sekiranya menghantar ke Felda. Ini kerana pada masa ini, Felda membuat bayaran pada 17 hari bulan pada bulan berikutnya. Contoh hasil bulan November dibayar pada 17 Di­sember.

“Bagi mengatasi ini, Felda boleh buat bayaran sekurang-kurangnya dua minggu sekali seperti yang pernah diamalkan,” katanya.

Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF), Datuk Mazlan Aliman pula berkata, peneroka seharusnya diberi galakan meningkatkan hasil mereka dan bukannya disekat melalui peraturan itu.

Katanya, galakan itu diperlukan berikutan tanah Felda yang sudah ditanam kelapa sawit harus dipulihkan bagi memberi hasil lebih banyak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN