SAUDARA PENGARANG,
SECARA umumnya, Dasar Pengguna Negara (DPN) diwujudkan agar setiap individu dari segenap lapisan masyarakat memahami dan menjadikan falsafah kepenggunaan sebagai panduan. Ini akan memupuk kesedaran berhubung tanggungjawab sebagai pengguna.
Dengan berpandukan falsafah ini, pengguna secara tidak langsung memahami hak mereka dalam melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan peniaga atau pengusaha produk. Antaranya :
- Pengguna boleh mengkritik jika berlaku sebarang penyalahgunaan atau penyelewengan terhadap hak-hak pengguna.
- Pengguna mesti terbabit dan mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan hak-hak pengguna dilayani dengan adil.
- Pengguna mesti bertindak dengan penuh tanggungjawab supaya tindak-tanduk yang diambil tidak menimbulkan kesulitan yang besar.
- Pengguna mesti bersatu dan bekerjasama agar kepentingan mereka tidak mudah digugat.
Nampaknya, ketika ini pergerakan pengguna memainkan peranan yang penting. Kebebasan pengguna adalah satu fakta yang menarik dalam pemasaran. Peniaga mesti menghapuskan stigma bahawa pengguna itu sebagai ancaman, sebaliknya menganggap mereka sebagai kawan. Peniaga boleh bekerjasama dengan pengguna untuk kepentingan sendiri dan umum.
Peniaga hanya bersikap dangkal apabila menyifatkan pergerakan pengguna sebagai ancaman terhadap kebebasan. Sikap tidak membina terhadap pergerakan pengguna mungkin menghasilkan perundangan yang lebih ketat dan terhad.
Justeru, peniaga boleh lakukan kajian dan penyelidikan bagi mengetahui apakah yang benar-benar diperlukan selain menasihati pengguna tentang cara-cara untuk membeli, dapat dan guna produk atau perkhidmatan.
Peniaga perlu mendengar aduan daripada pengguna. Ini akan membantu rancangan pendidikan pengguna. Dalam membuat rancangan penilaian, perhatian khas harus menumpukan keselamatan pengguna.
Selain itu, perkhidmatan untuk membantu pengguna perlu diperluaskan agar penilaian dapat dibuat dengan skop yang lebih besar, termasuk hal-hal yang mengelirukan.
Oleh itu, semua pihak harus faham pergerakan pengguna bukan ‘lahir’ untuk berniat jahat tetapi merupakan ‘orang tengah’ antara pengguna, peniaga dan kerajaan. Kerana itu, kerjasama dengan semua pihak amat penting terutama dalam merangka undang-undang pengguna di masa akan datang.-UTUSAN
BULBIR SINGH
Bekas Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan










