SAUDARA PENGARANG,
DALAM era globalisasi yang pesat, pelajar sekolah menengah agama (SMA) perlu diberi pendedahan kepada pelbagai ilmu mahupun kemahiran termasuk ilmu latihan serta Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET). Ini bagi menyediakan pelajar berkemahiran teknikal dan vokasional yang relevan dengan keperluan pasaran kerja moden.
Kerjasama strategik antara sekolah dengan institusi-institusi seperti kolej komuniti, GiatMara, politeknik, universiti awam serta syarikat swasta membuka peluang untuk mempelajari kemahiran tambahan yang berguna.
Pelaksanaannya boleh dilakukan pada hujung minggu supaya tidak mengganggu jadual pembelajaran utama. Kursus ini boleh meliputi pelbagai bidang, termasuk teknologi maklumat, kejuruteraan asas, rekaan grafik dan kemahiran teknikal lain yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran kerja.
Langkah ini memberi pendedahan awal kepada pelajar terhadap dunia pekerjaan yang memerlukan kemahiran teknikal dan membina asas dalam bidang kerjaya tertentu. Kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta pula akan membantu dalam menyediakan peluang latihan industri atau sesi praktikal yang relevan.
Dari sudut kebaikan, pendedahan kepada kursus TVET akan membina kemahiran insaniah dan teknikal dalam diri pelajar. Ini bukan sahaja meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran kerja, tetapi juga menjadikan mereka lebih berdikari dan mampu menghadapi cabaran dunia sebenar.
Ini kerana pelajar SMA sering kali dilihat sebagai individu yang cenderung kepada bidang keagamaan, namun dengan adanya kursus TVET, mereka dapat mengembangkan bakat dan kemahiran dalam pelbagai bidang secara lebih luas. Ini membuka ruang untuk mereka menceburi pelbagai bidang kerjaya yang berpotensi.
Dari sudut pengajaran, pelajar yang mengikuti kursus sampingan TVET juga dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari ke dalam kehidupan harian mereka. Sebagai contoh, kemahiran asas kejuruteraan atau teknologi maklumat boleh digunakan dalam projek-projek sekolah atau kegiatan kokurikulum. Selain itu, ini juga meningkatkan keyakinan pelajar untuk berkomunikasi dan bekerjasama dengan pihak luar, seperti tenaga pengajar dari kolej komuniti atau politeknik serta syarikat yang terlibat dalam program latihan industri.
Program ini juga boleh membantu dalam membentuk sahsiah dan disiplin pelajar. Dengan mengikuti kursus pada hujung minggu, pelajar akan belajar untuk mengurus masa dengan lebih baik dan membahagikan perhatian mereka antara akademik dan kemahiran teknikal. Ini memberikan pengalaman berharga dalam pengurusan masa, yang merupakan aspek penting dalam kehidupan dewasa dan dunia pekerjaan.
Sesi penilaian berkala boleh diadakan untuk menilai keberkesanan kursus dan menyesuaikan kurikulum berdasarkan maklum balas daripada pelajar dan tenaga pengajar.-UTUSAN
‘AN ‘ANAH HAMRA SHAHRUDDIN dan SITI SALWANA RUSLAN
Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Attas,
Pekan, Pahang










