PUTRAJAYA: Seekor tapir Malaya yang dipercayai sesat sebelum terjatuh ke dalam longkang, berjaya diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Menurut kenyataan agensi berkenaan semalam, haiwan mamalia tersebut ditemui cedera hasil maklumat diterima daripada orang awam yang prihatin mengenai nasib tapir betina itu.
Bertindak atas aduan, pihak Perhilitan Pahang telah diserahkan segera menjalankan operasi menyelamat tapir di Kawasan Perindustrian Gebeng, dalam Daerah Kuantan lewat kelmarin.
“Pemerhatian awal mendapati binatang berkenaan mengalami kecederaan dan bengkak di bahagian kaki hadapan,” kata agensi tersebut lagi menerusi hantaran dalam laman sosialnya.
Perhilitan negeri itu turut mendapat kerjasama Pusat Konservasi Hidupan Liar dari Jenderak Selatan, Daerah Temerloh yang bergegas membantu usaha pemindahan tapir liar tersebut.
Ia kemudian telah diberikan rawatan awal oleh pegawai veterinar jabatan itu sendiri di lokasi berkenaan sebelum dibawa dengan trak ke habitat semula jadi bersesuaian untuk dilepaskan.
Pihak Perhilitan turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi khas itu selain memuat naik foto eksklusif tapir Malaya tersebut ketika diselamatkan.
Haiwan itu antara lima spesies utama tapir terbesar di dunia dan merupakan jenis mamalia yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 atau Akta 716.
Malah, ia termasuk kategori terancam oleh Kesatuan Konservasi Semula Jadi Antarabangsa berpusat di Britain dan dalam senarai merah haiwan Semenanjung Malaysia pada 2017 lalu.
Keadaan diburukkan lagi dengan banyak tapir maut akibat menjadi mangsa kemalangan dilanggar kenderaan di jalan raya beberapa negeri dengan tahun lalu sahaja, 24 kes direkodkan.
Dianggarkan hanya ada kurang 2,000 ekor Tapir Malaya ketika ini dan Perhilitan mengambil inisiatif menubuhkan Pusat Konservasi di Sungai Dusun, Hulu Selangor, Selangor pada 2014. -UTUSAN ONLINE