Taman laut tidak sekat rezeki nelayan - Utusan Malaysia

Taman laut tidak sekat rezeki nelayan

KERATAN akhbar Utusan Malaysia 25 November lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pewartaan tiga buah pulau iaitu Pulau Undan, Pulau Dodol dan Pulau Nangka sebagai Taman Laut Negara perlu bagi menjaga sumber perikanan untuk jangka panjang.

Pengarah Perikanan Melaka, Mohd. Fauzi Salehon menegaskan, pewartaan itu sebagai salah satu pengurusan perikanan mampan secara sistematik dan bukan untuk menyekat rezeki para nelayan seperti didakwa sesetengah pihak.

Jelas beliau, semua pihak harus memahami konsep taman laut dengan jelas yang mana ia berperanan sebagai kawasan pemuliharaan sumber perikanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita hanya wartakan kawasan seluas satu batu nautika dari pulau-pulau berkenaan sebagai Taman Laut Negara, meskipun jarak yang dibenarkan adalah dua batu nautika.

“Kita akan buat pemuliharaan sumber dengan menjatuhkan tukun-tukun tiruan supaya pelbagai spesies ikan boleh membiak.

“Ikan-ikan ini keluar ke perairan bebas setelah dewasa dan nelayan boleh menangkapnya. Berdasarkan kajian Jabatan Perikanan, ikan-ikan bernilai tinggi seperti kerapu dan jenahak gemar berada di terumbu karang.

“Kalau tidak dipulihara di kawasan pembiakan ini dikhuatiri spesies ini pupus dan nelayan juga yang rugi. Jika nelayan tidak menyokong usaha ini dengan menceroboh kawasan berkenaan, sudah tiada tempat lagi untuk ikan-ikan ini membiak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan kira-kira 400 nelayan Melaka Selatan merayu agar kerajaan negeri mempertimbang cadangan untuk tidak mewartakan Pulau Undan, Pulau Dodol dan Pulau Nangka sebagai Taman Laut Negara.

Mengulas lanjut, Mohd. Fauzi berkata, beberapa siri konsultasi dan penerangan kepada pihak berkepentingan berhubung pewartaan berkenaan dimulakan sejak 2018.

Katanya, setelah menjalankan kajian, pihaknya menjalankan konsultasi dengan komuniti tempatan di tiga pangkalan nelayan di Jasin pada Mac 2019, kemudian memberi taklimat kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

“Kami turut membuat konsultasi di setiap pangkalan nelayan termasuk di Melaka Tengah dan mereka sendiri maklum kepentingan taman laut kepada nelayan. Pihak yang mengatakan pewartaan ini menjejaskan nelayan sebenarnya tidak memahami konsep taman laut.

“Ketua-ketua nelayan di pangkalan lain semua faham. Kita bukan hendak halang nelayan mencari rezeki, tetapi mahu menjaga sumber perikanan supaya hasil tangkapan nelayan meningkat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×