fbpx

22 Mei 2022, 4:16 pm

  TERKINI

Talent scout elak polis jadi kerjaya pilihan terakhir – Hamzah

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dicadang untuk menubuhkan satu pasukan pencari atau talent scout dalam memastikan pengambilan pegawai dan anggota agensi keselamatan itu terdiri daripada calon terbaik di seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penubuhan pasukan itu berupaya membantu PDRM memilih calon yang benar-benar berminat dan berkeupayaan yang secara tidak langsung akan membantu mencapai hasrat PDRM sebagai agensi keselamatan bertaraf dunia.

“Asas utama kekuatan PDRM adalah anggotanya, kalau kita hendak pertingkat sudah tentu kita perlu tarik minat mereka untuk bersama dengan PDRM, biar yang memohon sebagai pegawai atau anggota adalah mereka yang terpilih. Saya minta kalau boleh, ada talent scout diwujudkan oleh PDRM dan dimulakan di peringkat sekolah menengah. Kita mahu mereka yang benar-benar mahu menjadi polis, bukan lagi mereka yang melihat kerjaya ini sebagai pilihan terakhir,.

“Melalui talent scout ini, saya yakin pengambilan anggota boleh ditambah baik dengan mengambil kira aspek modal insan melibatkan soft skills, emotional intelligence dan tech savvy, ini yang kita mahu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Hamzah berkata, sekiranya perkara itu dapat dilaksanakan, PDRM akan berupaya menjadi satu agensi keselamatan contoh yang boleh dibanggakan di peringkat antarabangsa kerana selain pembangunan aspek fizikal dan infrastruktur, PDRM juga perlu memberi tumpuan kepada aspek latihan.

“Latihan yang hendak diberi itu perlulah latihan yang boleh bersaing dengan polis luar negara, kita mahu PDRM menjadi setaraf dengan polis ‘Scotland Yard’ atau polis Hong Kong yang biasa kita dengar kisah kejayaan mereka. Saya percaya dengan kepimpinan Ketua Polis Negara, kita akan mampu mempertingkatkan PDRM ke satu taraf membanggakan di peringkat dunia,” katanya. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI