BATU PAHAT: Hasrat seorang lelaki mahu mengedar rokok seludup di beberapa kedai runcit sekitar daerah ini gagal selepas ditahan bersama sebuah kenderaan yang sarat membawa muatan bahan terlarang itu, semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Superintenden Dimin Awang berkata, suspek lelaki berusia 25 tahun itu ditahan bersama kereta Proton Iswara merah di Taman Putera Indah, di sini pada pukul 3 petang.
“Pemeriksaan dilakukan ke atas kereta tersebut dengan disaksikan suspek dan menemukan beberapa barang yang disyaki barang seludup.
“Antara barangan yang berjaya dirampas adalah 25 karton Canyon merah 20 batang; sembilan karton Canyon hijau 20 batang; lapan karton John Blend 20 batang dan enam karton John White 25 batang.
“Ini termasuk enam karton John 20 batang; tujuh karton John Blast 20 batang; dua karton DJ Ice Plus 20 batang; dua karton DJ Black Edition 20 batang; dua karton John British 20 batang; tiga karton Luffman 16 batang; empat karton Impact Diplomat 16 batang dan dua karton Gudang Baru 20 batang,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, turut dirampas adalah kunci, sebuah telefon bimbit jenama Iphone XS Max dan juga kereta terbabit.
“Anggaran nilai rokok berjumlah RM2,683 manakala anggaran nilai cukai adalah RM11,323 manakala jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM20,807.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai membekalkan rokok tidak bercukai di kedai-kedai runcit sekitar daerah ini dan penahanannya berjaya melumpuhkan kegiatan itu,” katanya.
Dimin berkata, suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu pejabat Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.









