Tahanan tanpa negara di Sabah bakal cetus krisis kemanusiaan, kesihatan - Utusan Malaysia

Tahanan tanpa negara di Sabah bakal cetus krisis kemanusiaan, kesihatan

MOHD. Azmi (kiri) dan Hishammuddin menunjukkan MoU yang ditandatangani mereka sebagai komitmen memperjuangkan isu tahanan tanpa negara di Sabah di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tahanan tidak bernegara berjumlah 6,000 orang yang ditahan di Sabah didakwa boleh mencetuskan krisis kemanusiaan dan kesihatan sekiranya tidak ditangani dengan segera.

Tahanan yang kini berada Menggatal, Sandakan, Kimanis dan Tawau didakwa berada dalam suasana premis yang tidak kondusif dan turut dibimbangi boleh mencetuskan kembali gelombang jangkitan wabak Covid-19.

Oleh demikian, Setiausaha Agung Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishammuddin Hashim menggesa kerajaan mencari penyelesaian terhadap masalah tahanan itu dan mempersoalkan kewajaran tahanan itu berada di empat depot berkenaan dalam masa yang lama.

“Kalau tidak boleh diusir kenapa tahanan terus ditangkap. Hari ini MHO dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan menggesa kerajaan mencari solusi tuntas bagi menyelesaikan masalah tahanan tidak bernegara.

“Berdasarkan maklumat waris, ada tahanan yang ditahan lebih dua tahun hanya kerana masalah untuk mengesahkan dokumen pengenalan diri,” katanya selepas Majlis Menandatangani MoU bersama Mapim di Bukit Jelutong hari ini.

Beliau menambah, tahanan berkenaan perlu dibantu seperti pemberian lampin pakai buang, bahan kebersihan diri, ubat-ubatan untuk kudis, tuala wanita dan susu formula.

Hishammuddin menjelaskan, pihaknya juga berharap Wisma Putra bekerjasama dengan Kerajaan Filipina untuk mempercepatkan dokumentasi bagi membolehkan tahanan yang dipercayai daripada negara tersebut segera dihantar pulang.

Dalam pada itu Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid memaklumkan, Malaysia berada dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2022-2024 diharap menyelesaikan masalah kemanusiaan di negara sendiri terlebih dahulu sebelum melihat masalah hak asasi di negara luar.

“Mapim dan MHO menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perintis yang membawa isu tersebut untuk diketengahkan dan kami mengalu-alukan NGO lain menyertai bagi memperjuangkan hak asasi tahanan di kesemua depot tahanan tersebut.

“Atas semangat Keluarga Malaysia saya berharap kesemua tahanan tersebut dihantar balik dan mereka diberi dokumen agar mereka  mencari kerja yang sesuai untuk mencari nafkah dan menjalani kehidupan bermaruah,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN