PRN Johor: Pengundi muda main peranan besar - Utusan Malaysia

PRN Johor: Pengundi muda main peranan besar

AZALINA Othman Said (kanan) mendengar taklimat pempamer ketika menghadiri Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat Madani 3.0, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri di Balai Raya, Kampung Tanjung Serindit, Ladang Sungai Papan, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Pengundi muda bakal memainkan peranan besar dalam pembentukan kerajaan negeri baharu susulan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, statistik menunjukkan pengundi muda kini merupakan majoriti dalam sesuatu kawasan seperti Pengerang.

Sehubungan itu, golongan berkenaan perlu didekati dan disantuni dengan serius dan berhemah, bukan sebaliknya diabaikan begitu sahaja.

“Bagi saya, antara ukuran terbesar senario politik hari ini ialah pengundi muda. Di Pengerang sahaja, statistik menunjukkan lambakan pengundi muda adalah sekitar 40 peratus.

“Ini mungkin menjadi asas penting untuk menentukan kehadiran lebih banyak muka baharu atau calon muda. Kebiasaannya, kerusi DUN memang dilihat sebagai platform terbaik untuk mengetengahkan bakat-bakat muda ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat Madani 3.0, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri di Balai Raya, Kampung Tanjung Serindit, Ladang Sungai Papan hari ini.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, keputusan pembubaran DUN Johor ketika sokongan rakyat kukuh adalah keputusan terbaik.

“Pembubaran DUN sememangnya hak dan budi bicara Menteri Besar dan kerajaan negeri. Cerita tentang Johor hendak dibubarkan sudah lama kita dengar cuma tarikh sahaja tidak tahu.

“Mungkin dengan apa yang berlaku, sambutan ulang tahun UMNO ke-80 di Istana Besar Johor dan kemenangan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang kejuaraan Liga Super kali ke-12 berturut-turut, banyak sokongan positif rakyat terhadap kerajaan negeri.

“Jadi pembubaran ketika sokongan kukuh adalah keputusan tepat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pengerang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN