Kecam Konsert For You Nourul? Nourul percaya pengkritik sebenarnya mahu hadir - Utusan Malaysia

Kecam Konsert For You Nourul? Nourul percaya pengkritik sebenarnya mahu hadir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi Nourul Depp menyifatkan individu yang meninggalkan komen sinis terhadap konsert solonya yang berlangsung sehari yang lepas sebagai seseorang yang tiada kebahagian dalam hidupnya.

Nourul atau Noorulhuda Abdul Wahab, 49, berkata, individu yang mempertikaikan penganjuran konsert For You Nourul itu berkemungkinan sebenarnya mahu menghadiri acara tersebut, namun tidak berpeluang berbuat demikian.

“Saya percaya individu yang komen ini sebenarnya mahu datang ke konsert tersebut tetapi tidak dapat. Atau, mungkin dia mahu menjadi lebih bertenaga tetapi tidak tahu bagaimana.

“Ramai yang tidak gembira dalam kehidupan kerana tidak tahu bagaimana untuk menjadi bahagia. Padanya, hidup ini sukar,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.

Tambah penyanyi lagu Cinta Azali itu, kehidupan sebenarnya tidak sesukar yang disangka jika seseorang itu tahu menghormati diri sendiri dan orang lain.

“ Tidak susah pun. Hanya perlu tahu hormati diri dan orang lain. Sebelum itu, ingatlah bahawa Allah sentiasa memerhati. Apa sahaja yang diperkatakan, Allah itu ada.

“Sebelum itu, harus ingat, Yang Satu di atas memerhati. Katalah apa pun, Allah itu ada. Susah nak lari dari Dia kalau sudah terpilih dibalas dan diuji. Jaddi, buat yang baik-baik kalau mahu baik-baik,”katanya.

Reaksi itu diberikan Nourul selepas seorang pengguna media sosial mempertikaikan penganjuran konsert For You Nourul dengan mendakwa suaranya sudah berubah kerana lama tidak aktif menyanyi.

Untuk rekod, penantian lebih tiga dekad akhirnya terlerai apabila penyanyi Nourul Wahab Depp merealisasikan impian mengadakan konsert solo menerusi “Konsert For You Nourul” yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

Meskipun persembahan berlangsung hampir tiga jam tanpa henti, Nourul kekal bertenaga dengan vokal yang konsisten dari awal hingga akhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN