GEORGETOWN: Suspek yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan pembelian PlayStation 5 (PS5) membabitkan lebih 200 peminat tegar alat permainan konsol popular itu didapati bergerak bersendirian menjalankan perniagaan dalam talian menjual alat berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Mohd. Asmadi Yusoff berkata, suspek berusia 23 tahun yang ditahan di sini pada 13 November itu menjalankan perniagaan menjual konsol popular tersebut sejak dua tahun lalu.
Katanya, menerusi siasatan awal suspek juga didapati menjual alat permainan PS4 dan PS3 sebelum ini, namun tiada sebarang masalah membabitkan penjualan alatan berkenaan ketika itu.
“Suspek mempromosi penjualan PS5 ini menerusi platform Instagram dan Facebook yang dikenali sebagai Gila Gaming 666.
“Ada ahli kumpulan berkenaan yang telah memperoleh tempahan mereka dan mempromosi kepada ahli kumpulan lain, namun apabila tempahan dibuat dan dibayar mereka tidak memperoleh PS5 ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.
Sebelum ini, akhbar melaporkan hampir 200 pembeli pratempahan konsol permainan PS5 kerugian kira-kira RM500,000 selepas diperdaya individu yang membina reputasi sebagai penjual dipercayai atau ‘trusted seller’ sebelum melarikan diri bersama wang berkenaan.
Pada masa sama, penjual terbabit turut memiliki syarikat didaftarkan atas namanya bagi menambah keyakinan pelanggan.
Menurut Mohd. Asmadi, suspek juga disyaki menggunakan akaun ibunya yang turut menjalankan perniagaan secara dalam talian untuk memperoleh wang daripada para pembeli pratempahan PS5 itu.
“Berdasarkan keterangan suspek, dia memperoleh PS5 ini daripada pembekal lain, namun kita masih menyiasat kes ini dengan lanjut.
“Setakat ini terdapat lapan kes membabitkan penipuan PS5 ini dilaporkan di Pulau Pinang membabitkan kerugian RM28,000,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Asmadi berkata, kes-kes penipuan melibatkan modus operandi jenayah siber seperti pinjaman tidak wujud, pelaburan ah long merekodkan sebanyak 2,494 kes dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini (Januari hingga Oktober).
“Kerugian yang dialami oleh mangsa melibatkan jumlah hampir RM79 juta dan merangkumi 14.36 peratus daripada kerugian kes yang disiasat di seluruh negara.
“Kita juga mendapati kes jenayah siber di Pulau Pinang turut meningkat sehingga 28.2 peratus tahun ini,” katanya. – UTUSAN










