MELAKA: Datuk Seri Sulaiman Md. Ali akan dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka sehingga habis penggal dan bukannya secara sementara seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) menegaskan tiada istilah Ketua Menteri sementara jika parti itu berjaya membentuk kerajaan negeri.
“Mana ada ketua menteri sementara? Ini bukan cerita main-main. Ini bukan cerita ketua kampung setengah penggal.
“Jika diberi mandat rakyat kepada BN untuk mentadbir Melaka, kita sudah tetapkan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali akan dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka sehingga habis penggal,” katanya menerusi satu video dalam Facebook BN hari ini.
Beliau mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa kononnya akan ada individu lain bakal menggantikan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu itu kelak.
Sulaiman sebelum ini dinamakan sebagai calon Ketua Menteri dari BN jika parti itu berjaya menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu ini.
Dalam pada itu, Mohamad kemudian merayu para pengundi Melaka tidak terpedaya dengan fitnah pihak tertentu yang dilihat sengaja memutarbelitkan fakta untuk mengelirukan semua pihak.
“Saya harap rakyat Melaka tidak lagi termakan fitnah yang nak memutarbelitkan fakta dan nak melemahkan BN.
“Jadi, jangan dengar. Kepada pengundi dan rakyat Melaka, BN sudah memutuskan calon kita, Datuk Seri Sulaiman yang akan kita lantik dan yang akan menguruskan negeri untuk jangka masa satu penggal lima tahun yang akan datang,” katanya.